Pegawai imigresen AS tembak mati wanita di Minneapolis

Pegawai imigresen AS tembak mati wanita di Minneapolis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINNEAPOLIS: Seorang pegawai imigresen di Minneapolis menembak mati seorang wanita mencetuskan kemarahan pemimpin tempatan, walaupun Presiden, Donald Trump mendakwa pegawai tersebut bertindak untuk mempertahankan diri.

Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey, menyifatkan dakwaan kerajaan wanita itu menyerang ejen persekutuan sebagai ‘karut’, menggesa pegawai Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) yang menjalankan hari kedua serbuan besar-besaran supaya meninggalkan Minneapolis.

Ribuan orang berkumpul pada waktu malam untuk mengadakan acara nyalaan lilin di lokasi kejadian, menurut rakaman yang tular di media sosial, manakala penunjuk perasaan turut berhimpun di Manhattan, kata wartawan AFP.

Satu video yang dikongsi secara meluas menunjukkan sebuah SUV Honda dipercayai menghalang kenderaan penguat kuasa undang-undang tidak bertanda ketika mereka cuba melalui sebuah jalan yang dilitupi salji.

Pemandu kenderaan itu, yang dikenal pasti media tempatan sebagai Renee Nicole Good, 37, memandu pergi ketika pegawai menghampiri dan cuba membuka pintu keretanya.

Seorang ejen kemudian melepaskan tiga das tembakan menggunakan pistol ketika kenderaan itu bergerak meninggalkan lokasi.

Trump, yang mengarahkan serbuan anti-pendatang di seluruh negara, menuduh mangsa cuba melanggar ejen tersebut secara ganas.

“Wanita yang memandu kereta itu sangat tidak terkawal, menghalang dan melawan. Ejen berkenaan nampaknya melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri,” katanya di Truth Social.

Ejen persekutuan ICE berada di barisan hadapan usaha pentadbiran Trump untuk mengusir pendatang, walaupun berdepan bantahan daripada pihak berkuasa tempatan.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) melancarkan kempen pengambilan agresif pada musim panas lalu bagi menambah 10,000 lagi ejen ICE kepada pasukan sedia ada seramai kira-kira 6,000 orang.

Langkah itu mencetuskan kritikan pegawai baharu yang ditempatkan di lapangan tidak menerima latihan yang mencukupi.

Ketua DHS, Kristi Noem berkata, sebarang kehilangan nyawa adalah satu tragedi namun menyifatkan insiden itu sebagai keganasan domestik dan mendakwa Good mengekori serta menghalang kerja pegawai ICE sepanjang hari.

“Beliau kemudian menggunakan kenderaannya sebagai senjata,” katanya.

Insiden pada Rabu itu berlaku ketika aksi protes terhadap penguatkuasaan imigresen di bahagian selatan Minneapolis, yang terletak di negeri Minnesota di wilayah Midwest.

Gabenor Minnesota, Tim Walz, menyifatkan reaksi kerajaan persekutuan terhadap insiden itu sebagai propaganda dan berikrar bahawa negerinya akan memastikan siasatan yang penuh, adil dan pantas dijalankan.

Seorang saksi, Brandon Hewitt berkata, mendengar tiga das tembakan.

“Saya merakam banyak video ketika mereka mengangkat mayat ke ambulans,” katanya kepada MS NOW.

Seorang lagi saksi yang ditemu bual stesen tempatan FOX9 menggambarkan keadaan yang mengerikan.

“Penumpang yang terselamat keluar dari kereta dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Saksi turut menceritakan melihat seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang doktor cuba mendekati lokasi kejadian, namun dihalang oleh pihak berkuasa.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×