SETIAP musim perayaan, isu pembayaran gaji awal diraikan seolah-olah sebagai ihsan besar kepada pekerja.
Gaji yang sepatutnya diterima pada hujung bulan diawalkan beberapa hari atau seminggu dengan alasan memudahkan persiapan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina atau Deepavali. Namun, persoalannya, adakah langkah ini benar-benar memberi manfaat jangka panjang atau hanya kelegaan sementara?
Secara asasnya, gaji adalah ganjaran atas tenaga dan masa yang dicurahkan sepanjang sebulan. Memajukan tarikh pembayaran tidak menambah nilai sebenar pendapatan tetapi hanya memindahkan masa penerimaan. Malah, gaji awal boleh mendorong perbelanjaan impulsif kerana promosi dan suasana perayaan, sehingga pekerja berisiko berhutang atau menghadapi tekanan kewangan selepas perayaan berakhir.
Sebaliknya, bonus adalah pendekatan lebih bermakna kerana merupakan pendapatan tambahan yang sebenar, membolehkan pekerja membeli keperluan perayaan atau menyimpan tanpa menjejaskan perbelanjaan bulan berikutnya. Bonus juga menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan pekerja, bukan sekadar tarikh pembayaran diubah.
Mengekalkan pembayaran gaji pada cukup bulan turut mendidik disiplin kewangan. Aliran pendapatan yang konsisten memudahkan perancangan, bajet bulanan dan simpanan. Pembayaran tepat masa mencerminkan sistem yang stabil, berprinsip dan berorientasikan jangka panjang.
Dari perspektif organisasi, gaji awal bukan penanda pengurusan kewangan baik. Ia boleh menimbulkan persepsi kosmetik tanpa menyelesaikan isu sebenar, malah mengurangkan kepercayaan pekerja jika dianggap rutin kosong. Bagi golongan berpendapatan rendah atau mereka dengan komitmen tetap, gaji awal boleh mengganggu perancangan sedia ada.
Kesimpulannya, gaji awal mungkin memberi kelegaan sementara tetapi faedahnya terhad dan berpotensi menimbulkan tekanan selepas perayaan. Gaji wajar dibayar tepat pada masa, manakala bonus dan insentif lain lebih berkesan membantu pekerja. Dengan pendekatan ini, pekerja dapat menyambut perayaan dengan lebih bermaruah, terancang dan sejahtera.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong










