DESAKAN terbuka Pemuda UMNO supaya parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan mengundang pelbagai reaksi, khususnya daripada pemerhati politik yang bukan ahli UMNO tetapi mengikuti rapat pergerakan parti Melayu tertua itu.
Daripada luar pagar, desakan itu kelihatan bukan sekadar luahan emosi anak muda tetapi manifestasi keresahan yang telah lama terpendam di peringkat akar umbi.
UMNO berada dalam kedudukan yang agak janggal iaitu berada dalam kerajaan tetapi tidak benar-benar dilihat memimpin. Bersuara tetapi sering kedengaran berlapik.
Hakikat yang sukar dinafikan adalah persepsi kepemimpinan UMNO terlalu berhati-hati sehingga dilihat tunduk dan akur terhadap rakan gabungan khususnya DAP.
Persepsi sedemikian mungkin tidak adil sepenuhnya, namun dalam politik persepsi selalunya lebih berpengaruh daripada fakta.
UMNO yang suatu ketika dahulu lantang mengkritik DAP sebagai ancaman kepada agenda Melayu, kini duduk semeja dan mempertahankan keputusan bersama. Satu perubahan besar yang belum sepenuhnya diterima oleh penyokong tradisi.
Dari sudut pemerhati bukan ahli UMNO, masalahnya bukan pada kerjasama itu sendiri tetapi pada kegagalan kepemimpinan UMNO menjelaskan dengan meyakinkan kepada akar umbi mengapa pengorbanan ini perlu.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 30 kerusi Parlimen dengan UMNO sendiri memperoleh 26 kerusi. Satu angka yang amat kecil berbanding sejarah lampau parti itu.
Lebih penting, daripada jumlah tersebut tidak semua boleh dianggap sebagai kerusi selamat.
Berdasarkan margin kemenangan dan pola undi PRU15, secara realistik hanya sekitar 15 hingga 18 kerusi Parlimen boleh dikategorikan sebagai relatif selamat untuk UMNO ketika itu.
Selebihnya dimenangi dengan majoriti tipis atau dalam pertandingan pelbagai penjuru yang mudah berubah arah pada pilihan raya seterusnya.
Ini bermakna UMNO sebenarnya tidak berada dalam kedudukan yang cukup selesa untuk terus bergantung kepada status sebagai parti kerajaan tanpa pelan pemulihan sokongan yang jelas.
Daripada sudut sinis seorang bukan ahli, UMNO kelihatan seperti parti yang masih bergantung pada memori silam sedangkan landskap politik Melayu telah berubah dengan ketara.
Perikatan Nasional (PN) muncul sebagai alternatif yang lebih tegas daripada segi retorik manakala Pakatan Harapan (PH) pula menguasai naratif reformasi dan tadbir urus.
Dalam keadaan itu, UMNO seolah-olah tersepit di tengah yang mana tidak cukup keras untuk pengundi konservatif dan tidak cukup progresif untuk pengundi bandar.
Kekal dalam Kerajaan Perpaduan menjadikan UMNO sebahagian daripada kerajaan yang terpaksa mempertahankan dasar bersama, walaupun sebahagiannya tidak popular dalam kalangan penyokong sendiri.
Di sinilah timbul persoalan besar adakah UMNO sanggup terus mengorbankan sokongan akar umbi demi kestabilan politik jangka pendek?
Daripada kaca mata luar, keberanian keluar daripada kerajaan dan menjadi pembangkang mungkin langkah berisiko tetapi ia juga membuka ruang untuk UMNO membina semula identiti.
Menjadi pembangkang memberi UMNO kebebasan bersuara, mengkritik dasar yang tidak dipersetujui dan menunjukkan perbezaan yang lebih jelas.
Namun, itu hanya berkesan jika UMNO benar-benar berfungsi sebagai pembangkang berprinsip, bukan pembangkang bermusim.
UMNO juga perlu sedar yang sekadar menukar posisi politik tidak akan secara automatik mengembalikan sokongan.
Isu kepemimpinan, calon, integriti dan hala tuju dasar masih menjadi faktor utama penilaian pengundi.
Akar umbi mahukan kepemimpinan yang berani membuat keputusan sukar, bukan sekadar menjaga kerusi Kabinet.

BERANI ATAU BERGANTUNG?
Pemuda UMNO yang mendesak boleh dilihat sebagai suara generasi yang sedar bahawa PRU16 semakin hampir dan masa untuk ‘berpura-pura’ semakin suntuk.
Daripada sudut bukan ahli UMNO, kritikan paling pedih adalah apabila UMNO dilihat lebih cenderung mempertahankan rakan gabungan berbanding mempertahankan penyokong sendiri.
Ini tidak bermakna UMNO perlu ke arah politik ekstrem atau perkauman sempit tetapi kejelasan prinsip amat diperlukan.
Jika UMNO terus dilihat samar-samar dan terlalu berhati-hati, bermakna kerusi selamat yang ada juga tidak mustahil menjadi goyah.
PRU16 bakal menjadi ujian sama ada UMNO masih relevan sebagai parti besar atau sekadar pelengkap dalam kerajaan campuran.
Masa masih ada untuk UMNO membuat pembetulan arah tetapi masa itu semakin singkat dan tidak menunggu sesiapa.
Daripada kaca mata luar, keputusan UMNO sama ada kekal atau keluar daripada Kerajaan Perpaduan bukan lagi soal strategi semata-mata tetapi soal keberanian menentukan masa hadapan sendiri.-UTUSAN
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










