Lima hari hasilkan arca batu pualam Langkawi

Lima hari hasilkan arca batu pualam Langkawi

ARCA wajah kanak-kanak Asia yang nyenyak tidur yang dihasilkan Jiang Meng Si.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-baru ini, kaki Gunung Raya di Pulau Langkawi bergema dengan bunyi tukul, pahat, gerudi dan gergaji.

Ia bukan disebabkan aktiviti pembinaan, sebaliknya kerja-kerja penghasilan arca batu pualam oleh 18 artis tempatan dan luar negara.

Ketekunan mereka memotong, menebuk, mengukir, memahat dan menggilap batu pualam, berjaya menghasilkan karya halus serta memukau.

Menariknya, keseluruhan proses tersebut diselesaikan hanya dalam tempoh lima hari sahaja menerusi Program Langkawi International Marble Art Camp 2025 (Lain Macam 2025).

Program seni arca bertaraf antarabangsa itu mengangkat batu pualam pulau legenda ini sebagai bahan teras dalam penghasilan karya.

Ia sekali gus memperlihatkan keindahan alam semula jadi dalam bentuk ekspresi seni kontemporari.

Seorang pengarca, Muhammad Idrus Mohd. Rani, 36, mengetengahkan karya bertajuk Serpihan alam.

Muhammad Idrus Mohd. Rani mengetengahkan karya bertajuk Serpihan alam.

Rekaannya menggabungkan bentuk permata dengan unsur-unsur industri seperti batu pemberat, bolt dan nat bagi mencerminkan elemen sejarah serta pemodenan di Pulau Langkawi.

Ia bertepatan dengan gelaran pulau ini sebagai sebagai ‘permata Kedah’

“Ini adalah pengalaman pertama saya menghasilkan arca daripada batu pualam, biasanya saya menggunakan besi, kayu dan plexiglass sahaja.

“Prosesnya memang mencabar terutama di peringkat awal kerana perlu memecahkan kiub untuk mendapatkan bentuk asas dan kesilapan kecil boleh menyebabkan karya rosak.

“Walaupun kerja-kerja itu dibuat dengan teliti saya tetap berdepan situasi ia pecah dan retak di beberapa bahagian,” katanya.

Namun, anak jati Tanjung Malim ini tidak melihatnya sebagai kegagalan, sebaliknya ia memberi tarikan dan keunikan kepada karyanya.

Dengan kreativiti dimiliki, dia mengubah retakan dan kecacatan itu menjadi elemen artistik yang indah.

Terdahulu, katanya, tempoh dua minggu diambil untuk mencari ilham dan melakukan lakaran awal, sebelum bermulanya proses membentuk arca.

“Dalam lakaran awal, tiada garis-garis di bahagian permata, tetapi idea itu datang secara spontan ketika proses pembuatan di kaki Gunung Raya.

“Panorama di lokasi itu sangat mempesonakan, jadi saya ukirkan garisan ini sebagai simbolik langit dan awan,” katanya.

Sepanjang empat tahun bergiat aktif dalam bidang ini, hampir 100 arca dihasilkan Muhammad Idrus.

Bahkan, dia pernah mewakili negara ke peringkat akhir Pertandingan Arca Oita ke-17 di Jepun pada 2024, menerusi karya bertajuk Universe.

Arca tidak stabil

Rekaan arca tidak stabil menjadi pilihan Jiang Meng Si, 38, bagi menggambarkan ketegangan dan pergolakan dunia semasa.

Karya bertajuk Lullaby of the earth itu bertambah unik apabila memaparkan wajah kanak-kanak Asia yang nyenyak tidur.

Mesej yang ingin disampaikan pengarca dari Taiwan ini ialah kedamaian, keamanan dan ketenangan boleh wujud di tengah-tengah ketidakstabilan.

“Saya ibaratkan kanak-kanak seperti batu pualam yang suci, murni dan melambangkan kehidupan sederhana.

“Dengan elemen ini, saya mahu menunjukkan walaupun dunia tidak stabil, ketenangan masih boleh dirasai,” katanya.

Pensyarah seni itu berkata, cabaran terbesarnya adalah untuk mewujudkan keseimbangan pada arca sambil mengukir wajah dengan tepat.

Apatah lagi, ini merupakan kali pertamanya mengendalikan arca batu pualam.

“Saya sudah biasa berkarya menggunakan kayu dan amat teruja apabila diberi peluang mencuba medium batu pula.

“Selepas ini, saya berhasrat untuk terus meneroka batu pualam dalam penghasilan karya,” katanya.

Bulu pelepah helang jadi taruhan

Sentuhan seorang lagi pengarca, Nai Vongsuthep Wong Sowat @ Timothy Vongsuthep, 50, berjaya menghasilkan karya berbentuk bulu pelepah.

Ilham itu lahir daripada burung helang, salah satu identiti ikonik Pulau Langkawi.

KARYA Nai Vongsuthep Wong Sowat @ Timothy Vongsuthep berbentuk bulu pelepah burung helang.

Kreativiti pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Sungai Long ini turut membolehkan arcanya menjadi tumpuan ramai.

“Saya mahu mengubah persepsi masyarakat. Batu pualam biasanya dilihat berat, tetapi melalui karya ini, saya cuba tunjukkan yang ia juga boleh nampak ringan, halus dan seakan melayang,” katanya.

Nai Vongsuthep sebelum ini pernah menghasilkan arca penyu gergasi yang dijadikan tukun tiruan.

Arca bersaiz 51.8 meter panjang dengan 12.2 meter tinggi itu sebahagian daripada penyelidikannya mengenai kepentingan memulihara kehidupan marin

Martabatkan batu pualam

Penglibatan rentas negara menerusi platform Lain Macam bukan sahaja memperkukuhkan jaringan seni arca di peringkat antarabangsa.

Malah, dapat memartabatkan batu pualam Langkawi sebagai bahan seni bertaraf global.

Apatah lagi kualitinya setanding dengan beberapa batu pualam terkenal dunia, seperti Carrara di Itali.

Kesemua arca seni itu kini dipamerkan di Galeri Balai Seni Negara Langkawi sehingga 31 April depan.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Antara artis yang terlibat ialah Subri Ismail, Shu Ogasawara, Laxman Bahadur Gharti, Tugiman S. Sn, Yeo Chee Kiong, Chandrashekar Koteshwar, Shaik Azgharali, Shu Wei Chang, Jing Yibing dan Abd. Hamid Muhamad.

Diikuti Anees Yasin Mohammad Maani, Ryo Wakabayashi, Kazutaka Shioi, Prof. Jehabdullah Jehsorhoh serta Muhammadtoha Hayi Yusof.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×