Bimbing anak muda guna media sosial

Bimbing anak muda guna media sosial

DENGAN pendekatan seimbang, kita dapat mengurangkan kesan buruk era digital.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CADANGAN kerajaan untuk melarang akses media sosial kepada kanak-kanak bawah 16 tahun bermula 2026 mencetuskan perdebatan hangat dalam masyarakat.

Langkah ini dilihat sebagai usaha membendung ketagihan gajet, mengelakkan buli siber serta melindungi kesejahteraan digital generasi muda daripada ancaman negatif.

Namun, dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi, persoalan timbul sejauh mana larangan ini praktikal dan adakah ia benar-benar penyelesaian terbaik.

Apabila kanak-kanak terdedah kepada teknologi tanpa kawalan, hala tuju mereka turut berubah. Walaupun teknologi membuka peluang pembelajaran tetapi dalam masa sama memberi ruang kepada penyalahgunaan dan jenayah siber yang semakin meluas dalam kalangan remaja.

Realitinya, ketagihan skrin menjadi isu serius. Tanpa kawalan, ramai pelajar sukar menumpukan perhatian, cepat letih dan hilang disiplin akibat berjaga malam mengikuti trend TikTok atau permainan mudah alih.

Gangguan tidur dan penurunan prestasi akademik menjadi kesan nyata. Selain itu, buli siber menjadi ancaman senyap yang membawa tekanan mental, kemurungan dan rendah diri.

Kanak-kanak seawal 10 tahun mampu memuat naik kandungan sendiri dan terdedah kepada bahan lucah, keganasan dan budaya kehidupan toksik. Dalam diam, mereka membentuk persepsi salah tentang kecantikan, kejayaan dan nilai hidup.

Kemahiran komunikasi bersemuka juga semakin terjejas apabila masa berkualiti bersama keluarga digantikan dengan masa skrin. Persoalan timbul sama ada larangan media sosial untuk bawah 16 tahun pilihan tepat. Jawapannya bukan sekadar ya atau tidak.

Larangan mempunyai asas kukuh, seperti memastikan keselamatan digital, mengurangkan ketagihan gajet dan mendorong interaksi fizikal, serta membantu pembentukan identiti diri yang sihat.

Namun, juga menimbulkan risiko, termasuk pengasingan sosial, jurang literasi digital dan isu kebebasan bersuara. Larangan tanpa pendidikan digital yang tepat mungkin tidak mencapai matlamat pembentukan tanggungjawab digital.

Pendidikan digital boleh menjadi jalan tengah. Literasi keselamatan dalam talian, etika komunikasi, mengenal pasti berita palsu dan kawalan privasi perlu diperkenalkan sejak sekolah rendah.

Kanak-kanak harus dilatih menjadi pengguna bijak, bukan mangsa teknologi. Ibu bapa memainkan peranan utama dengan menetapkan masa skrin, memantau penggunaan gajet dan menyediakan masa berkualiti bersama anak.

Sekolah boleh memperkukuh aktiviti kokurikulum dan program kepimpinan untuk meningkatkan kemahiran sosial dan empati. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi belia turut membantu melalui bengkel pembangunan diri dan aktiviti komuniti.

Kerjasama kerajaan dan penyedia platform digital juga penting. Contohnya, model di Korea Selatan dan Singapura mewujudkan versi platform khas kanak-kanak dengan kandungan terpilih, pengesahan ibu bapa dan sistem keselamatan masa nyata.

Di Malaysia, platform mesra kanak-kanak seperti KidzWorld, Duolingo Kids dan YouTube Kids menunjukkan teknologi boleh dimanfaatkan secara selamat melalui had waktu tontonan dan akses terkawal.

Kerajaan juga boleh bekerjasama dengan penyedia telekomunikasi untuk menyediakan data percuma bagi aplikasi pembelajaran.

Pendekatan jangka panjang memerlukan penguatkuasaan had umur, sistem verifikasi ketat serta platform selamat dan mesra kanak-kanak. Generasi muda tidak boleh dibiarkan dibesarkan oleh algoritma semata-mata sebaliknya perlu dibentuk dengan kasih sayang, nilai moral dan bimbingan.

Larangan mungkin mengurangkan risiko sementara tetapi pendidikan, perhatian dan pembinaan akhlak adalah kunci melahirkan generasi berdaya saing, matang serta bermaruah.

Dengan pendekatan seimbang, kita dapat mengurangkan kesan buruk era digital sambil memperkasakan kanak-kanak untuk berjaya di masa hadapan, sekali gus memulihkan keselamatan digital untuk semua rakyat Malaysia. – UTUSAN

L. UTHAYAVELLAN
Fakulti Bahasa & Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×