Tiga ditahan miliki senjata api, peluru tanpa lesen

Tiga ditahan miliki senjata api, peluru tanpa lesen

SENJATA api jenis shotgun bersama beberapa butir peluru dan kelongsong peluru yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Bemban, Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Tiga individu termasuk seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis selepas dipercayai memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen dalam serbuan di sebuah rumah di Bemban di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 5.30 petang itu, dua lagi suspek lelaki masing-masing berusia 54 dan 45 tahun ditahan bersama selaras shotgun berwarna coklat, penghadang tangan senjata api, tali pinggang peluru dan sarung senjata api.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, turut dirampas 10 kelongsong peluru jenis 12 bore berwarna putih serta beberapa kelongsong peluru 12 bore berwarna merah, hijau dan coklat.

“Pemeriksaan di lokasi menemukan senjata api bersama beberapa jenis peluru yang diletakkan di atas sebuah meja di bahagian bawah garaj rumah berkenaan. Senjata api berkenaan berada dalam keadaan lengkap bersama aksesori berkaitan.

“Lelaki berusia 54 tahun mempunyai hubungan kekeluargaan dengan wanita terbabit iaitu sebagai bapa saudara manakala seorang lagi lelaki berusia 45 tahun ialah rakan kepada suspek tersebut.

“Semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek lelaki masing-masing mempunyai tiga dan tujuh rekod kesalahan lampau melibatkan kes jenayah serta dadah. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilikan sebenar senjata api berkenaan,” katanya hari ini.

Robert berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari sehingga 7 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×