PETALING JAYA: Kurikulum baharu prasekolah yang mula dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun ini menumpukan pembelajaran kanak-kanak kepada enam bidang utama.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, enam bidang berkenaan ialah sosioemosi, fizikal dan kesejahteraan diri, bahasa dan literasi, kerohanian, nilai dan kewarganegaraan, kreativiti dan estetika serta kognitif.
Katanya, bidang sosioemosi menekankan pembangunan keupayaan kanak-kanak mengenal dan mengurus emosi sendiri serta membina hubungan dengan orang lain dan persekitaran.
“Bagi bidang fizikal dan kesejahteraan diri, penekanan diberikan kepada kesedaran mengenai kesihatan termasuk pemakanan sihat, penjagaan kebersihan dan keselamatan. Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) juga diberi perhatian.
“Bidang bahasa dan literasi memberi fokus kepada penguasaan kemahiran komunikasi, asas literasi dan bahasa serta usaha memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Menurut Fadhlina, bidang kerohanian, nilai dan kewarganegaraan terbahagi kepada tiga subbidang iaitu pendidikan Islam, pendidikan moral dan pendidikan kewarganegaraan.
“Dalam pendidikan Islam, kanak-kanak beragama Islam dididik mengenai pengetahuan asas, sikap, nilai dan amalan ajaran Islam termasuk asas tulisan Jawi.
“Pendidikan moral pula menekankan nilai asas seperti kasih sayang, kejujuran, hormat dan kerajinan melalui pendekatan pembelajaran menyeronokkan.
“Bagi pendidikan kewarganegaraan, ia bertujuan menanam kesedaran terhadap hak dan tanggungjawab sebagai warganegara, semangat patriotisme dan keupayaan menyumbang kepada kesejahteraan keluarga serta komuniti,” katanya.
Tambah Fadhlina, bagi bidang kreativiti dan estetika, kanak-kanak diberi peluang meneroka dan menghargai keindahan persekitaran, selain mengembangkan daya imaginasi melalui seni visual, muzik, gerakan dan drama.
“Bidang kognitif pula memberi pendedahan untuk menggalakkan kanak-kanak berfikir secara sistematik, berinteraksi serta berkongsi maklumat bagi menyelesaikan masalah.
“Saya berharap kurikulum baharu itu dapat melahirkan generasi awal yang holistik, seimbang dan berdaya saing di peringkat global,” katanya. – UTUSAN










