Dua sahabat tidak mengaku rompak gadis di Kok Lanas

Dua sahabat tidak mengaku rompak gadis di Kok Lanas

ANGGOTA polis membawa Mohammed Sanusi Dollah (tiga kanan) dan Azahar Hussin di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua sahabat berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebat selepas didakwa melakukan rompakan berkumpulan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita di Kok Lanas, dekat sini, Disember lalu.

Mohammed Sanusi Dollah, 44, dan Azahar Hussin, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen Hakim Nik Habri Mohamad.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan cuba mengambil harta milik gadis berusia 19 tahun, iaitu seutas gelang emas dan beg duit sehingga mendatangkan kecederaan terhadapnya.

Perbuatan  itu dilakukan di Jalan Batu Tinggi, Kok Lanas kira-kira pukul 6.20 petang pada 22 Disember lalu. Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah tidak menawarkan ikat jamin terhadap kedua-dua tertuduh selain menetapkan 19 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, tular dalam media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan sebuah motosikal ditunggang seorang wanita dihimpit sebuah kereta jenis Perodua Myvi. Penumpang depan kereta tersebut cuba menarik gelang tangan mangsa, namun wanita itu menepis tangan suspek sebelum terjatuh dari motosikal.

Suspek kemudian keluar dari kereta dan mengejar wanita itu sehingga ke hadapan sebuah kedai ayam gunting sebelum sekali lagi cuba menarik gelang emas di tangan mangsa. Semasa suspek berlari untuk memasuki kereta, orang awam berjaya merampas kembali beg duit mangsa sebelum lelaki itu menaiki kereta berkenaan yang dipandu seorang lagi suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×