Selangor akui sudah sedia layan JDT

Selangor akui sudah sedia layan JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) menganggap pertembungan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai perlawanan paling penting musim ini kerana membawa misi balas dendam apabila kedua-dua pasukan berentap di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya(MBPJ), hari ini.

Pengurus Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, skuad Gergasi Merah sudah bersedia sepenuhnya untuk menggalas cabaran sebagai tuan rumah, sambil mengakui kehebatan JDT yang memiliki kualiti pemain serta corak permainan mantap.

“Kita akui JDT sebuah pasukan yang berkualiti dan mampu menghukum mana-mana pasukan sekiranya lawan kurang fokus serta gagal memanfaatkan peluang di depan gol.

“Namun, persiapan pasukan berada pada tahap terbaik ketika ini. Pemain berada dalam keadaan bersemangat dan cukup bersedia untuk menghadapi perlawanan penting ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut Mahfizul, Selangor FC tidak pernah memandang ringan pertembungan menentang JDT dan sentiasa meletakkannya sebagai perlawanan berprofil tinggi yang menuntut fokus serta disiplin maksimum sepanjang 90 minit permainan.

“Perlawanan menentang JDT sentiasa menjadi keutamaan buat Selangor FC. Dalam aksi hari ini, sasaran kami jelas iaitu mendapatkan mata penuh bagi merapatkan jurang dengan pasukan Kuching City FC,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfizul turut menyeru penyokong setia Selangor FC agar turun beramai-ramai ke Stadium MBPJ bagi memberikan sokongan padu, yang disifatkannya sebagai suntikan moral penting kepada pemain di atas padang.

“Kami amat mengharapkan kehadiran penyokong untuk menjadi pemain ke-12 pasukan. Sokongan padu mereka mampu memberi kelebihan kepada pasukan dalam usaha mengekang cabaran JDT,” katanya.

Pertemuan tersebut dijangka berlangsung sengit dengan Selangor FC bertekad mempamerkan kebangkitan serta menebus maruah, sekali gus menghidupkan misi balas dendam ke atas pasukan gergasi selatan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×