Mesej di sebalik Sanusi tolak Pengerusi PN

Mesej di sebalik Sanusi tolak Pengerusi PN

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI dijangka, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muham­mad Sanusi Md. Nor tidak akan menyambut cadangan agar na­­manya diangkat sebagai Pe­nge­rusi Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan Tan Sri Muh­yiddin Yassin.

Sikap itu selari dengan pendiriannya sebelum ini apabila beliau tiga kali menolak pencalonan sebagai Naib Presiden Pas, meskipun memiliki sokongan akar umbi yang kuat.

Penolakan berulang kali terhadap jawatan lebih besar dalam Pas dan gabungan PN bukanlah satu kebetulan, sebaliknya membawa signifikan politik yang wajar dibaca dengan cermat.

Pertama, pendirian beliau mencerminkan keutamaan terhadap amanah pentadbiran negeri berbanding mengejar kedudukan tertinggi parti. Sebagai Menteri Besar, beliau dilihat mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada agenda pembangunan Kedah.

Dalam konteks ini, menolak jawatan besar parti atau gabu­ngan memberi mesej jelas bahawa prestasi pentadbiran tidak boleh dikompromi oleh percaturan kuasa.

Kedua, penolakan itu boleh diandaikan sebagai usaha untuk mengelak pemusatan kuasa terhadap satu tokoh. Dalam landskap politik Malaysia yang sering dikritik kerana terlalu bergantung kepada individu tertentu, sikap Muhammad Sanusi boleh ditafsir sebagai langkah menyuburkan budaya kepimpinan kolektif.

Ini penting bagi memastikan kesinambungan sesuatu parti ti­dak bergantung kepada populariti seorang tokoh semata-mata.

Dalam kerangka Pas pula, pe­nolakan jawatan Naib Presi­den oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu sebelum ini, memberi ruang kepada kepimpinan sedia ada untuk mengekalkan keseimbangan an­tara ulama dan profesional.

Muhammad Sanusi pula dilihat lebih berperanan sebagai ‘aset strategik lapangan’ berbanding pemain utama di meja tertinggi parti. Peranan ini se­ring kali lebih berkesan dalam menarik sokongan pengundi bu­kan tradisi Pas.

Bagi PN, nama beliau yang kerap dikaitkan dengan gaya politik lantang dan populis berpotensi mencetuskan polemik jika diangkat ke jawatan ter­tinggi gabungan. Dengan menolak cadangan itu, beliau juga secara tidak langsung meredakan ‘ke­tegangan’ peralihan kuasa dalam PN.

Akhirnya, penolakan jawatan besar oleh Muhammad Sanusi boleh dibaca sebagai simbol kematangan politik, bahawa kepemimpinan bukan semata-mata soal jawatan, tetapi soal masa, kesesuaian dan keperluan organisasi.

Dalam era politik yang sarat dengan perebutan kuasa, sikap sedemikian jarang berlaku dan justeru memberi nilai tersendiri kepada imej Pas dan mungkin juga PN.

Kesimpulannya, keputusan beliau bukan tanda mengundur diri daripada politik nasional, tapi langkah strategik yang memperkukuh peranan sebagai pentadbir negeri yang berpe­ngaruh, sambil kekal menjadi aset penting Pas dan PN kerana dalam politik, ada kalanya menolak adalah cara paling kuat untuk memimpin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×