10 tahun tunggu titik noktah bauksit

10 tahun tunggu titik noktah bauksit

KESAN peninggalan perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Peneroka di tanah rancangan Felda Bukit Goh di sini, mengharapkan ada sinar baharu buat mereka pada tahun ini selepas perlombongan bauksit dihentikan sejak 2016 akibat ‘serangan debu merah’ dan kebisingan.

Ketika ini, kehidupan kira-kira 194 peneroka di tanah rancangan itu menderita hilang punca pendapatan sejak aktiviti tersebut dihentikan, selain ada antaranya me­ngalami tekanan hidup.

Hampir 10 tahun menunggu, apa yang mereka inginkan adalah titik noktah daripada ke­rajaan negeri berhubung tanah peneroka yang terlibat bauksit di tanah rancangan tersebut.

Seorang peneroka, Mohd. Khalid Zakaria, 53, berkata, mereka berharap ada khabar gembira tahun ini sekali gus menamatkan penderitaan dialami mereka.

“Tidak tahu lagi kepada pihak mana kami ingin merayu nasib. Kami benar-benar berharap projek pembangunan segera dilaksanakan di sini.

“Cumanya, diharapkan jangan ada unsur-unsur politik di sebalik kemelut berpanjangan ini. Berilah keceriaan dan kegembiraan kepada kami pada tahun baharu 2026 ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kegiatan perlombongan bauk­sit, bijih mineral yang mempunyai aluminium hidroksida di Kuantan, terutama di Felda Bukit Goh, Balok dan Gebeng dipercayai bermula sejak per­tengahan 2014.

Aktiviti pengeluaran bauksit terhenti apabila kerajaan Persekutuan mengenakan tempoh moratorium bermula 15 Januari 2016.

Tempoh ini dikenakan ekoran pelbagai isu membabitkan pen­cemaran, keselamatan jalan raya dan ancaman kesihatan diakibatkan oleh aktiviti yang dilihat tidak terkawal hingga meresahkan penduduk terutama di Kuantan.

Sementara itu, peneroka, Rahimah Nik Leh, 77, berkata, dia bersetuju jika ada usaha untuk melaksanakan sebarang projek pembangunan di tanah ladang sawit di tanah rancangan tersebut.

“Apa sahaja yang kerajaan hendak buat, buatlah. Apa yang penting, ia dapat memberi pendapatan bulanan kepada kami. Kami sudah terlalu lama merana tiada pendapatan,” katanya.

Difahamkan, tiada lagi stok simpanan bauksit di Felda Bukit Goh, sebaliknya apa yang ada hanya sisa bahan mineral tersebut yang tiada nilai.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×