Lebih 20 terkorban serangan dron, Russia tuding jari kepada Ukraine

Lebih 20 terkorban serangan dron, Russia tuding jari kepada Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia menuduh Ukraine berada di sebalik serangan dron ke atas sebuah hotel di wilayah Kherson selatan Ukraine yang dikuasai Moscow, mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang yang sedang meraikan Tahun Baharu, sambil mendakwa tindakan itu menjejaskan usaha damai.

Tuduhan itu dibuat pada saat kritikal selepas beberapa minggu usaha diplomatik bagi menamatkan perang hampir empat tahun, ketika Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyatakan negaranya berada 10 peratus daripada mencapai perjanjian damai.

Puluhan ribu orang terbunuh, wilayah timur Ukraine musnah dan jutaan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman sejak Russia melancarkan serangan berskala penuh pada 2022.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut gabenor wilayah Kherson yang dilantik Russia, Vladimir Saldo, pihak musuh melancarkan tiga serangan dron yang mengenai sebuah kafe dan hotel di kawasan pantai Laut Hitam di Khorly, ketika orang awam sedang menyambut Tahun Baharu.

Gambar yang dimuat naik Saldo di Telegram menunjukkan bangunan hangus terbakar, runtuhan yang masih berasap serta mayat-mayat rentung. Kyiv setakat ini belum memberi sebarang komen berhubung dakwaan tersebut.

Jawatankuasa Penyiasatan Russia memaklumkan siasatan telah dibuka terhadap serangan yang didakwa mengorbankan lebih 20 nyawa dan mencederakan ramai lagi. Kementerian Luar Russia berkata, angka kematian masih dalam proses pengesahan.

Saldo turut mendakwa lebih 100 orang berada di hotel berkenaan pada malam kejadian.

Kementerian Luar Russia menyifatkan serangan itu sebagai tindakan pengganas, menggesa pertubuhan antarabangsa mengecam dan memberi amaran kepada Ukraine tentang akibat sewajarnya.

Russia juga menuduh pihak berkuasa Ukraine secara sengaja mensabotaj sebarang usaha untuk mencari penyelesaian damai kepada konflik.

Sementara itu, Zelenskyy berkata, Russia meneruskan serangan pada Tahun Baharu dengan melancarkan lebih 200 dron sepanjang malam, yang kebanyakannya menyasarkan kemudahan tenaga.

Operator tenaga Ukraine, Ukrenergo berkata, sejumlah besar pengguna terputus bekalan elektrik, manakala infrastruktur kereta api dan pelabuhan turut rosak akibat serangan terbaharu itu.

Di wilayah Kharkiv, Russia dilaporkan menyerang sebuah taman yang mempunyai zoo, mencederakan seorang individu serta haiwan termasuk singa, selain mengorbankan burung pegar dan burung kakak tua, menurut pemilik taman tersebut, Oleksandr Feldman, kepada media Ukraine. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN