ADEN: Kumpulan pemisah Yemen, Majlis Peralihan Selatan (STC) berkata, pasukan kerajaan yang disokong Arab Saudi akan ditempatkan di wilayah yang dirampas mereka, namun langkah itu tidak memenuhi tuntutan Riyadh yang mahu pengunduran penuh pasukan pemisah.
Serangan mengejut oleh STC bulan lalu yang menyaksikan kumpulan itu menguasai wilayah kaya sumber Hadramawt dan Mahra, telah mendorong Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, sekutu rasmi dalam konflik Yemen ke tahap ketegangan yang belum pernah berlaku.
Pada Selasa, pakatan diketuai Arab Saudi di Yemen melancarkan serangan ke atas penghantaran senjata UAE di pelabuhan Mukalla yang ditujukan kepada pasukan pemisah. Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh Abu Dhabi.
Pakatan itu turut menuntut agar pasukan STC berundur dari wilayah yang baru ditawan.
Dalam kenyataannya pada Khamis, STC memaklumkan akan terus beroperasi di wilayah berkenaan, namun bersetuju menerima penempatan pasukan kerajaan National Shield yang disokong Riyadh di kawasan tersebut.
“Hari ini, kami melancarkan operasi untuk mengintegrasikan pasukan National Shield selatan supaya mereka dapat memikul tanggungjawab dan misi yang sebelum ini dilaksanakan oleh angkatan bersenjata kami,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama menyebut sebuah briged National Shield akan ditempatkan di kawasan tertentu di wilayah Hadramawt dan Mahra, seperti yang dipersetujui.
Bagaimanapun, seorang sumber yang rapat dengan kerajaan Arab Saudi memberitahu AFP pada Khamis keperluan keselamatan Riyadh hanya akan dipenuhi sekiranya STC berundur sepenuhnya dari Hadramawt dan Mahra.
Sumber berkata, penempatan semula pasukan kerajaan itu masih belum mencukupi.
“Kita perlu tunggu dan lihat apa yang benar-benar dilaksanakan di lapangan,” katanya.
Seorang lagi sumber yang rapat dengan tentera Arab Saudi berkata kepada AFP pakatan diketuai Riyadh memantau rapat perkembangan di lapangan dan sedang membuat penilaian sendiri.
STC kemudiannya menolak kritikan terhadap perjanjian itu, dengan menyatakan bahawa pasukan kerajaan yang akan ditempatkan di kawasan mereka sebahagian besarnya terdiri daripada warga selatan, yang dibiayai dan diselia oleh Arab Saudi.
“Penempatan mereka di sepanjang sempadan Arab Saudi menafikan sebarang hujah pihak yang cuba menghasut Riyadh,” kata jurucakap STC, Anwar Al Tamimi, kepada AFP.
Semalam, penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Aden, Yemen terpaksa dihentikan dengan penumpang membanjiri terminal menunggu maklumat terkini mengenai penerbangan mereka.










