Kecemerlangan Jakim aspirasi Malaysia Madani

Kecemerlangan Jakim aspirasi Malaysia Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN  2025 selesai dilalui dengan jayanya yang perlu dimuhasabah bersama. Pelbagai episod suka dan duka dirakam sepanjang tahun termasuk institusi pentadbiran hal ehwal Islam khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai sebahagian jentera pentadbiran negara.

Fungsi Jakim untuk melaksanakan maksud Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengiktiraf Islam adalah agama bagi Persekutuan dan raja atau sultan sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri. Peranan ini tentunya digalas penuh bertanggungjawab serta berintegriti bersama pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri.

Sepanjang tahun lalu, sebagai agensi penyelaras hal ehwal Islam, antara usaha yang diberi keutamaan adalah menyelaras Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan berjumlah RM150 juta bagi Bantuan Selenggara dan Naik Taraf (SNT) Institusi Pendidikan Islam (IPI) yang disediakan oleh Kementerian Kewangan dan disalurkan melalui Jakim. Tentunya peruntukan ini bukan sekadar membaiki bangunan atau menambah kemudahan institusi pendidikan Islam di negeri-negeri semata-mata bahkan ikhtiar untuk membangun generasi madani agar dapat belajar dalam suasana yang kondunsif.

Ia juga sebagai usaha menghargai jasa guru selaku murabbi ummah supaya dapat mengajar dengan lebih selesa dan berfokus kerana daripada keringat golongan ini akan lahir generasi berilmu serta berakhlak.

Begitu juga dalam memperkukuh pendidikan tahfiz, Jakim terus istiqamah memperkasa Pendidikan Tahfiz Negara sebagai nadi pembinaan insan madani berakar pada al-Quran, berdaya saing di dunia dan berakhlak memimpin masa hadapan.

Melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang diperkenal sejak 2017, ekosistem tahfiz negara diperkukuh secara menyeluruh merangkumi perundangan, kurikulum, tadbir urus dan pengiktirafan, menjadikannya lebih tersusun, berkualiti serta mampan. Mengikut rekod, sehingga Oktober 2025, sebanyak 1,401 institusi, 10,081 guru dan 61,494 orang pelajar tahfiz berdaftar melalui Sistem Pengurusan Maklumat Pendidikan Islam (Simpeni).

Manakala, melalui Darul Quran Jakim pula, seramai 12,597 orang alumni huffaz dilahirkan, kini berkhidmat dalam pendidikan, dakwah, perkhidmatan awam, profesional dan keusahawanan.

Seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, inisiatif Model Pengajian Tahfiz Malaysia (MPTM) dan Tahfiz TVET membuka dimensi baharu, membuktikan huffaz bukan sekadar penjaga hafazan tetapi pewaris ilmu yang relevan dan berkemahiran tinggi. Seramai 2,327 orang pelajar melangkah ke medan ini sehingga November 2025.

Selain itu, Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju ekosistem halal global, dengan Logo Halal Malaysia diiktiraf sebagai lambang integriti, kualiti dan pematuhan syariah bertaraf antarabangsa. Sehingga kini, Jakim mengiktiraf 92 Badan Pensijilan Halal Luar Negara daripada 47 buah negara, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai penentu rujukan standard halal dunia.

Pada 2024, pengiktirafan ini diperluas kepada lima badan pensijilan halal luar negara termasuk dari rantau Amerika Selatan dan Asia.

Malaysia juga dinobatkan sebagai Negara Nombor Satu dalam Ekonomi Islam Global bagi 2024 hingga 2025 menurut laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE). Pencapaian ini menandakan 11 tahun berturut-turut Malaysia mengekalkan kedudukan teratas, mengatasi 14 negara lain termasuk Arab Saudi, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.

 

 

2025 menjadi tahun refleksi dan pencapaian bagi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai langkah untuk terus memartabatkan integriti dan perpaduan umat Islam.

Menurut laporan SGIE, kecemerlangan Malaysia adalah hasil komitmen berterusan dalam membangunkan ekosistem ekonomi Islam yang komprehensif, khususnya dalam bidang pensijilan halal, kewangan Islam dan pelancongan mesra Muslim, yang dipacu sistem pensijilan halal negara diterajui Jakim.

Tahun lalu juga memberikan kenangan indah kerana agensi ini turut menerima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Muslim Sedunia sempena Global Muslim Business Forum 2025, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan cemerlang Jakim dalam memartabatkan tadbir urus halal Malaysia serta memperkukuh keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap integriti sistem halal negara.

Jakim turut dianugerahkan Kecemerlangan Institusi dalam Tadbir Urus Halal sempena penganjuran World Islamic Tourism & Trade Award (WITA) pada 25 Ogos 2025.

Kesemua anugerah yang dicapai ini menjadi sumber inspirasi kepada warga Jakim untuk menggandakan usaha mengangkat reputasi perkhidmatan halal bersama pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri serta lain-lain agensi berkepentingan.

Mendepani cabaran tahun baharu, Jakim akan terus berperanan memperkukuh usaha ke arah kecemerlangan ummah seiring aspirasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang membawa tema Islam berkemajuan.

Firman Allah yang terakam dalam Surah Al-Imran, ayat 110 bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik”

Semoga tahun ini akan membuka lembaran baharu kepada kita semua dengan penuh kesyukuran untuk meneroka kejayaan dan kecemerlangan buat masyarakat, negara mahupun ummah.

Semangat ‘Gema Syukur’ akan terus disemai rasa syukur atas segala nikmat yang diberikan dan berusaha dengan lebih tekad untuk mengisi tahun ini dengan pelbagai kebaikan dan manfaat serta memperkukuh penguasaan dan kecemerlangan ilmu dan modal insan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mujadalah, ayat 11 bermaksud “…supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”

Tentunya, tahun ini menuntut umat Islam untuk terus memperkukuh saf kesatuan persaudaraan Islam berasaskan iman dan takwa. Surah Al-Anfaal, ayat 46 menggesa kita semua untuk memperkukuh perpaduan sesama kita seperti mafhum firman-Nya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”.

Seluruh umat Islam perlu memperteguh silaturrahim dengan menjunjung tinggi nilai ihsan dan mencari seberapa banyak titik persamaan di samping mengurus perbezaaan pandangan sesama kita dengan semangat rahmah dan santun. Semua pihak dipohon untuk bergandingan dengan agensi hal ehwal agama membangunkan Malaysia Madani demi anak cucu pewaris negara.-UTUSAN

DATUK Dr. Sirajuddin Suhaimee ialah ​Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×