Disney setuju bayar RM40.5 juta selesai dakwaan langgar privasi kanak-kanak

Disney setuju bayar RM40.5 juta selesai dakwaan langgar privasi kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Syarikat The Walt Disney Company bersetuju membayar AS$10 juta (RM40.5 juta) bagi menyelesaikan dakwaan syarikat itu melanggar undang-undang privasi kanak-kanak sekali gus membenarkan pengiklanan bersasar terhadap golongan tersebut.

Disney mencapai penyelesaian dengan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat (FTC) pada September lalu bagi menamatkan siasatan berhubung pengumpulan data peribadi kanak-kanak selepas gagal melabelkan sebahagian video di YouTube sebagai kandungan untuk golongan itu.

Sejak 2020, Disney memuat naik video ke lebih 1,250 saluran YouTube melalui beberapa anak syarikatnya, menurut aduan Jabatan Kehakiman yang difailkan di California. 

Banyak daripada video tersebut menjadi amat popular, dengan jumlah tontonan melonjak pada bulan-bulan awal pandemik Covid-19.

Menurut pemfailan undang-undang itu, Disney menyedari kegagalan melabelkan video kanak-kanak dengan betul seawal Jun 2020.

Pada ketika itu, YouTube didakwa memaklumkan Disney platform tersebut sudah menukar label ke atas lebih 300 video, termasuk kandungan daripada The Incredibles, Toy Story dan Frozen.

FTC berhujah kegagalan Disney untuk melabelkan video kanak-kanak dengan betul menyebabkan golongan tersebut menerima iklan bersasar serta data mereka dikumpul tanpa pemberitahuan dan kebenaran ibu bapa.

“Jabatan Kehakiman komited sepenuhnya untuk memastikan ibu bapa mempunyai hak bersuara dalam cara maklumat anak-anak mereka dikumpul dan digunakan,” kata Penolong Peguam Negara di Bahagian Sivil Jabatan Kehakiman, Brett Shumate dalam satu kenyataan yang mengumumkan perintah mahkamah persekutuan itu.

Susulan penyelesaian pada 2019 antara FTC dan Google, syarikat induk YouTube, platform itu mula mewajibkan pencipta kandungan melabelkan video yang ditujukan kepada kanak-kanak.

Peraturan tersebut bertujuan mengelakkan pengiklanan bersasar dan pengumpulan data peribadi pada kandungan kanak-kanak, yang dilarang di bawah Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-kanak (COPPA) 1998.

Undang-undang itu mengkehendaki pencipta kandungan untuk kanak-kanak bawah 13 tahun memaklumkan ibu bapa dan mendapatkan kebenaran mereka sebelum mengumpul maklumat peribadi.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×