PETALING JAYA: Global Construction Certification Centre Sdn. Bhd. (GCCC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama CIDB Holdings Sdn. Bhd. bagi mewujudkan rangka kerjasama strategik dalam mempromosi serta memudahkan akses antarabangsa kepada perkhidmatan pengujian produk binaan, pensijilan dan latihan industri.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak menyasarkan peluasan perkhidmatan teknikal dan profesional berkaitan industri binaan ke pasaran antarabangsa menerusi pendekatan promosi, pemudah cara pasaran serta kolaborasi teknikal, selaras dengan piawaian dan amalan industri yang berkaitan.
Di bawah kerangka tersebut, GCCC akan bertindak sebagai rakan promosi antarabangsa tidak eksklusif bagi memudahkan penglibatan pengilang, institusi, agensi serta pemain industri luar negara yang berminat mendapatkan perkhidmatan pengujian, pensijilan dan latihan industri binaan di Malaysia.
Pengerusi GCCC, Tan Sri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya komited menyokong usaha memperkukuh pengiktirafan dan kefahaman terhadap keperluan piawaian industri binaan menerusi kerjasama strategik, perkongsian kepakaran serta pelaksanaan program promosi dan pembangunan kapasiti mengikut keperluan pasaran antarabangsa.
“GCCC memiliki rangkaian kerjasama strategik melibatkan makmal pengujian, institusi latihan dan rakan industri di Malaysia, China serta beberapa pasaran antarabangsa lain, sekali gus membolehkan aktiviti promosi, pengenalan perkhidmatan dan pertukaran pengetahuan dilaksanakan secara lebih tersusun dan berperingkat.
“Rangkaian ini memberi kelebihan kepada GCCC untuk menyokong peluasan capaian perkhidmatan industri binaan Malaysia ke luar negara secara lebih strategik,” katanya dalam kenyataan.
CIDB Holdings merupakan syarikat milik Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang menyediakan perkhidmatan teknikal dan profesional kepada industri pembinaan, termasuk pengujian, pensijilan, latihan serta pembangunan kapasiti industri.
Kerjasama tersebut turut membuka ruang penganjuran bersama pelbagai aktiviti promosi antarabangsa seperti seminar, persidangan, pameran dan misi dagang, selain penyampaian program latihan serta pembangunan kapasiti kepada peserta antarabangsa, tertakluk kepada persetujuan bersama.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif GCCC, Dr. Ahmad Tarmizi Mukhtar berkata, inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada penyelarasan usaha promosi dan pemudah cara teknikal bagi membantu pihak berkepentingan memahami keperluan pengujian, pensijilan dan latihan industri binaan.
“Pendekatan ini secara tidak langsung menyokong proses perancangan serta pematuhan yang lebih teratur dalam kalangan pemain industri,” katanya.
MoU tersebut mencerminkan hasrat bersama kedua-dua pihak untuk menggalakkan kerjasama berasaskan manfaat bersama, pertukaran kepakaran serta pembangunan kapasiti dalam sektor pembinaan, tanpa mewujudkan sebarang hubungan kawal selia, kuasa kelulusan atau komitmen eksklusif di luar skop yang dipersetujui. – UTUSAN










