EKONOMI dunia pada 2026 dijangka berkembang secara sederhana, dengan unjuran pertumbuhan sekitar 2.9 hingga 3.3 peratus, lebih rendah daripada era pra-pandemik.
Menurut unjuran rasmi, ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan yang sederhana sekitar 4 hingga 4.5 peratus tahun ini, selepas berkembang sekitar 4.4 hingga 4.5 peratus pada 2025, menunjukkan perlahan berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Unjuran pertumbuhan eksport pula dianggar sekitar 2.9 peratus, sementara import dijangka meningkat sekitar 3.7 peratus, mencerminkan kelemahan permintaan luar negara berbanding tahun sebelum ini.
Malaysia perlu bersedia menghadapi cabaran ekonomi dengan lebih tersusun, realistik dan berani melakukan pembaharuan struktur. Landskap ekonomi global yang semakin tidak menentu, ditambah pula dengan tekanan geopolitik, perubahan teknologi yang pantas serta kesan perubahan iklim, menjadikan tahun-tahun mendatang sebagai tempoh kritikal kelangsungan daya saing negara.
Tahun ini merupakan fasa peralihan penting yang menuntut kesiapsiagaan menyeluruh daripada kerajaan, sektor swasta dan rakyat. Jika persediaan ini gagal dirancang dari sekarang, Malaysia berisiko terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana yang berpanjangan.
Antara cabaran utama ekonomi ialah ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada konflik geopolitik, dasar perlindungan perdagangan dan ketidakseimbangan rantaian bekalan dunia.
Perang berpanjangan di Eropah Timur, ketegangan di Asia Barat serta persaingan strategik antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China memberi kesan langsung kepada perdagangan antarabangsa, harga komoditi dan aliran pelaburan.
Sebagai sebuah negara dagangan terbuka, Malaysia terdedah kepada kejutan luaran ini. Oleh itu, strategi kepelbagaian pasaran eksport, pengukuhan perdagangan intra-ASEAN serta penerokaan pasaran baharu di Asia Selatan, Afrika dan Timur Tengah perlu dipercepatkan.
Dalam konteks domestik, isu kos sara hidup dijangka terus menjadi tekanan utama kepada rakyat. Peningkatan harga makanan, perumahan, utiliti dan perkhidmatan asas bukan sahaja menjejaskan kuasa beli, malah memberi kesan kepada kesejahteraan sosial dan kestabilan ekonomi negara.
Malaysia perlu menilai semula kebergantungan kepada import makanan, memperkukuh sekuriti makanan negara dan meningkatkan produktiviti sektor pertanian melalui teknologi pintar, automasi serta penggunaan data. Transformasi sektor pertanian daripada aktiviti tradisional kepada agroteknologi bernilai tinggi merupakan keperluan mendesak.
Selain itu, struktur pasaran buruh juga berdepan cabaran besar. Isu gaji, ketidaksepadanan kemahiran dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing berkemahiran rendah masih belum diselesaikan secara tuntas.
Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), kecerdasan buatan (AI) dan automasi dijangka menggantikan banyak pekerjaan rutin, sekali gus meningkatkan risiko pengangguran struktur jika tenaga kerja tempatan tidak dipersiapkan dengan kemahiran baharu.
Malaysia perlu melakukan reformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan dan latihan, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), universiti dan latihan semula pekerja agar sejajar dengan keperluan industri masa hadapan.
Sementara Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara juga perlu diberi perhatian serius dalam persediaan menghadapi ekonomi. Walaupun PMKS menyumbang lebih 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan majoriti peluang pekerjaan, namun kebanyakannya masih beroperasi dengan margin keuntungan rendah, tahap automasi minimum serta daya tahan kewangan lemah.
Tanpa sokongan bersasar dalam bentuk akses pembiayaan pintar, pendigitalan operasi, penggunaan model perniagaan berasaskan AI dan integrasi ke dalam rantaian nilai global hanya menyebabkan PMKS terus terpinggir selain sukar bersaing dalam ekonomi masa hadapan.
Dalam masa sama, Malaysia juga perlu bersedia menghadapi cabaran fiskal dan hutang negara. Ini kerana perbelanjaan kerajaan, subsidi dan keperluan bantuan sosial perlu diimbangi dengan keupayaan hasil negara yang mampan.
Rasionalisasi subsidi, peluasan asas cukai dan penambahbaikan tadbir urus fiskal perlu dilaksanakan dengan berhati-hati agar tidak membebankan golongan rentan.
Pendekatan bersasar dan berasaskan data harus menjadi teras kepada dasar fiskal baharu, selari dengan aspirasi keadilan sosial dan kemampanan ekonomi jangka panjang.
Peralihan kepada ekonomi hijau dan mampan turut menjadi cabaran besar yang tidak dapat dielakkan. Tekanan antarabangsa terhadap pematuhan piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), mekanisme pelarasan jejak karbon serta permintaan pengguna global terhadap produk mesra alam akan mempengaruhi daya saing eksport Malaysia.
Industri tempatan, khususnya PMKS, perlu dibantu untuk memahami dan melaksanakan prinsip kelestarian tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan.
Pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, ekonomi kitaran dan teknologi rendah karbon harus dipercepatkan agar Malaysia tidak ketinggalan dalam agenda global ini.
Ekonomi digital pula bakal menjadi pemacu utama pertumbuhan namun Malaysia masih berdepan jurang digital yang ketara antara bandar dan luar bandar, serta antara perusahaan besar dan PMKS. Infrastruktur digital, akses internet berkelajuan tinggi dan literasi digital rakyat perlu diperkukuh secara menyeluruh.
Pada masa sama, isu keselamatan siber, perlindungan data dan etika penggunaan AI perlu ditangani secara serius bagi memastikan kepercayaan terhadap ekonomi digital dapat dipelihara. Tanpa ekosistem digital yang selamat dan inklusif, potensi ekonomi digital tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

KESTABILAN POLITIK
Dari sudut tadbir urus, Malaysia perlu memastikan kestabilan politik dan kejelasan dasar ekonomi bagi menarik pelaburan jangka panjang. Pelabur bukan sahaja menilai insentif dan kos tetapi juga konsistensi dasar, kecekapan institusi dan ketelusan pentadbiran.
Reformasi institusi, pengurangan kerenah birokrasi serta pemerkasaan tadbir urus berasaskan integriti adalah prasyarat penting untuk memastikan keyakinan pelabur terus kukuh. Tanpa keyakinan ini, usaha pemulihan dan pertumbuhan ekonomi akan berdepan pelbagai kekangan.
Aspek daya tahan rantaian bekalan domestik turut menjadi isu kritikal pasca pandemik dan dijangka terus relevan. Gangguan global sebelum ini mendedahkan kelemahan negara yang terlalu bergantung kepada sumber luar bagi bahan mentah, komponen industri dan barangan strategik.
MASYARAKAT MENUA
Satu lagi cabaran penting yang perlu diambil kira ialah dinamika demografi dan penuaan penduduk. Malaysia sedang bergerak pantas ke arah status negara menua, dengan peratusan penduduk berusia 60 tahun ke atas dijangka meningkat secara signifikan dalam tempoh terdekat.
Perubahan struktur demografi ini akan memberi tekanan kepada pasaran buruh, sistem kesihatan awam dan perbelanjaan sosial kerajaan.
Jika tidak ditangani secara strategik, kekurangan tenaga kerja produktif boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Malaysia perlu merangka dasar pekerjaan fleksibel, memanjangkan usia persaraan secara berperingkat serta menggalakkan penyertaan tenaga kerja wanita dan warga emas berkemahiran dalam ekonomi.
Akhirnya, persediaan Malaysia menghadapi cabaran ekonomi 2026 memerlukan perubahan dan usaha kolektif semua pihak.
Kerajaan perlu bertindak sebagai pemudah cara yang strategik sementara sektor swasta sebagai pemacu inovasi dan rakyat sebagai tenaga kerja yang berdaya saing serta adaptif.
Kejayaan bukan ditentukan oleh dasar jangka pendek semata-mata tetapi keberanian membuat keputusan sukar hari ini demi kesejahteraan generasi akan datang.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










