WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menjadi ‘pak turut’ apabila mendengar desakan Israel untuk melancarkan serangan baharu terhadap Iran jika negara itu meningkatkan pengeluaran uranium bagi membangunkan lebih banyak senjata nuklear.
Presiden Donald Trump berikrar bertindak pantas terhadap Iran sekiranya negara itu cuba membina semula program nuklearnya.
Trump mengeluarkan ancaman tersebut pada Isnin selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di resort Mar-a-Lago miliknya di Florida.
Beliau berkata, perbincangannya dengan pemimpin Israel tersebut menumpukan usaha memajukan perjanjian gencatan senjata yang dirundingkan bagi perang Israel di Gaza, selain menangani kebimbangan rejim itu terhadap Iran dan kumpulan Hezbollah di Lubnan.
ANCAMAN TERHADAP IRAN
Trump mendakwa Iran mungkin berusaha membina semula program nuklearnya selepas serangan udara AS pada Jun lalu yang merosakkan tiga kemudahan nuklear Iran.
“Kini saya dengar Iran cuba membina semula program nuklearnya dan jika mereka berbuat demikian, kami terpaksa menumpaskan mereka sekali lagi.
“Kami akan menumpaskan mereka. Kami akan menghancurkan mereka habis-habisan. Tetapi, harapnya perkara itu tidak berlaku,” kata Trump kepada wartawan.
Katanya, sekiranya Iran cuba membangunkan semula program nuklearnya, AS tiada pilihan selain segera memusnahkan pembangunan tersebut, dengan akibat yang mungkin lebih dahsyat daripada serangan sebelum ini.
“Kami tahu dengan tepat ke mana mereka pergi dan apa yang mereka lakukan. Saya harap mereka tidak melakukannya, kerana kami tidak mahu membazirkan bahan api pesawat B-2 kami.
“Perjalanan itu mengambil masa 37 jam pergi dan balik. Saya tidak mahu membazirkan banyak bahan api,” katanya merujuk kepada pengebom yang digunakan dalam serangan terdahulu.
Trump enggan mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya terhadap Iran.
Namun, beliau berkata, AS dan Israel sudah mencapai ‘kemenangan besar’ terhadap musuh mereka, sambil mendakwa jika AS tidak mengalahkan Iran, tidak akan ada keamanan di Asia Barat.
Teheran menafikan sedang membangunkan senjata nuklear dan menolak rundingan mengenai program peluru berpandu yang dianggap sebagai teras strategi pertahanannya.
Semasa konflik Jun lalu yang dirujuk sebagai ‘perang 12 hari’, Teheranmelancarkan ratusan peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel yang membunuh jeneral tertinggi Iran, beberapa saintis nuklear dan ratusan orang awam.
Senator AS, Lindsey Graham yang dikenali sebagai tokoh tegas terhadap Iran dan rapat dengan Trump, dilaporkan melawat Israel bulan ini dan mengulangi naratif kerajaan Netanyahu mengenai bahaya peluru berpandu jarak jauh Iran.
Beliau memberi amaran Iran sedang menghasilkannya dalam jumlah yang sangat besar.
“Kita tidak boleh membenarkan Iran menghasilkan peluru berpandu balistik kerana ia boleh menenggelamkan sistem Iron Dome. Ia ancaman besar,” katanya kepada akhbar The Jerusalem Post, merujuk kepada sistem pertahanan udara Israel.
KEKAL SOKONG NETANYAHU
Pada Isnin, Trump berkata, Iran sepatutnya membuat perjanjian dengan AS.
“Jika mereka mahu membuat perjanjian, itu jauh lebih bijak. Mereka boleh membuat perjanjian sebelum serangan besar ke atas mereka, tetapi mereka memilih untuk tidak berbuat demikian. Sekarang mereka menyesal,” katanya.
Walaupun Washington menjadi perantara kepada tiga gencatan senjata melibatkan Israel dengan Hamas, Iran serta Lubnan, Netanyahu dilaporkan masih bimbang kumpulan-kumpulan yang menentang rejim Zionis itu akan membina semula kekuatan mereka.
Secara keseluruhan, kenyataan Trump menunjukkan beliau kekal menyokong kuat Netanyahu, walaupun beberapa pembantunya secara tertutup mempersoalkan komitmen pemimpin Israel itu terhadap gencatan senjata di Gaza.
Kenyataan tersebut juga membayangkan kesediaan Trump untuk mengambil risiko tercetusnya konflik baharu berkaitan Gaza dan Iran, walaupun beliau mendakwa sudah berjaya menamatkan peperangan Israel di kedua-dua wilayah itu.
Ancaman terbaharu itu turut muncul beberapa minggu selepas pentadbiran Trump mengeluarkan Strategi Keselamatan Negara yang menyeru AS mengalihkan fokus dasar luar daripada Asia Barat kepada Hemisfera Barat.
Namun, penyokong strategi tersebut memberi amaran serangan baharu terhadap Iran boleh mencetuskan peperangan yang lebih panjang dan meluas.
Pada Jun lalu, Iran membalas serangan Washington dengan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera AS di Qatar, yang tidak mengorbankan sebarang nyawa warga AS.
Trump kemudiannya mengumumkan gencatan senjata bagi menamatkan konflik itu.
Naib Presiden Eksekutif Institut Quincy, Trita Parsi, sebuah badan pemikir AS yang menggalakkan diplomasi, memberitahu Al Jazeera, tindak balas Iran akan menjadi jauh lebih keras sekiranya negara itu diserang sekali lagi.
“Orang Iran memahami jika mereka tidak membalas dengan keras dan menafikan tanggapan Iran ialah negara yang boleh dibom setiap enam bulan, maka Iran akan terus menjadi sasaran serangan Israel setiap enam bulan,” katanya.










