Hamas sahkan jurucakap Abu Obeida maut akibat serangan Israel - Utusan Malaysia

Hamas sahkan jurucakap Abu Obeida maut akibat serangan Israel

ABU OBEIDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sayap bersenjata Hamas mengesahkan jurucakapnya, Abu Obeida terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza, beberapa bulan selepas Tel Aviv mendakwa tokoh berkenaan telah terbunuh dalam operasi ketenteraan.

Briged Ezzedine al-Qassam dalam satu kenyataan video yang dimuat naik di saluran Telegram rasminya menyatakan penghormatan kepada Abu Obeida yang disifatkan sebagai komander kanan serta jurucakap utama kumpulan itu.

“Kami berhenti sejenak dengan penuh penghormatan terhadap lelaki bertopeng yang dicintai jutaan orang, komander syahid agung dan jurucakap Briged al-Qassam, Abu Obeida,” menurut kenyataan itu.

Israel sebelum ini mendakwa Abu Obeida terbunuh dalam serangan udara pada 30 Ogos lalu, namun Hamas tidak mengesahkan perkara tersebut sehinggalah pengumuman rasmi dibuat hari ini.

Sepanjang konflik, Abu Obeida yang menggunakan nama samaran itu muncul sebagai wajah utama kenyataan rasmi sayap ketenteraan Hamas, khususnya berkaitan perkembangan operasi ketenteraan dan isu pertukaran tahanan, sekali gus menjadi tumpuan penduduk Gaza serta media Arab dan antarabangsa.

Abu Obeida, yang nama sebenarnya Hudhayfa Samir al-Kahlout, dilahirkan pada 11 Februari 1985 dan dibesarkan di Kem Pelarian Jabalia di utara Gaza. Beliau menyertai Hamas sejak usia muda sebelum menjadi anggota Briged al-Qassam dan kemudiannya dilantik sebagai satu-satunya jurucakap kumpulan itu.

Beliau dikenali dengan penampilan berseragam tentera serta wajah yang sentiasa ditutup dengan kain keffiyeh merah, selain pernah menjadi sasaran beberapa cubaan pembunuhan oleh Israel.

Menurut pegawai Hamas, Abu Obeida dianggap simbol penentangan dan dikenali dengan ucapan berapi-api serta pengumuman penting berkaitan operasi ketenteraan. Identiti sebenar beliau dikatakan hanya diketahui oleh segelintir pemimpin kanan Hamas.

Dalam video sama, Briged al-Qassam turut memperkenalkan jurucakap baharu yang menyatakan akan menggunakan nama Abu Obeida dalam kenyataan akan datang, selain mengumumkan kematian empat lagi komander Hamas dalam serangan Israel sepanjang perang yang berterusan sejak Oktober 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×