WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bakal menerima penghargaan tertinggi warga awam Israel pada 2026, selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengumumkan akan menamatkan tradisi berdekad-dekad untuk mengiktiraf individu bukan warganegara.
Selepas pertemuan mesra di Florida dengan Trump, Netanyahu berkata, langkah itu mencerminkan ‘sentimen luar biasa’ dalam kalangan penduduk Israel sebagai penghargaan terhadap sokongan Presiden AS itu kepada mereka.
“Trump mencabar begitu banyak konvensyen hingga mengejutkan ramai orang dan akhirnya mereka menyedari, mungkin beliau memang betul juga.
“Jadi kami memutuskan untuk memecahkan satu konvensyen juga atau mencipta yang baharu, iaitu menganugerahkan Hadiah Israel,” kata Netanyahu kepada wartawan.
Netanyahu memuji Trump sebagai ‘sahabat terbesar Israel sepanjang masa’ pada Oktober, pujian yang menyusuli pembebasan 20 tebusan terakhir oleh kumpulan Hamas dalam serangan 7 Oktober 2023, di bawah perjanjian keamanan Gaza yang dimediasi oleh Trump dan pasukannya.
Kebiasaannya, Hadiah Israel diperuntukkan untuk warganegara atau penduduk Israel, dengan satu-satunya pengecualian ialah kategori sumbangan istimewa kepada rakyat Yahudi.
Satu-satunya bukan warganegara lain yang menerima versi penghargaan ini ialah Pengarah Orkestra India, Zubin Mehta pada 1991.
Trump yang jelas gembira berkata, ia sangat mengejutkan dan amat dihargai sambil memberi bayangan kemungkinan beliau akan terbang ke Israel untuk majlis penyampaian anugerah itu.
Bagi Trump, pengiktirafan ini adalah satu lagi lambang dalam imej dirinya sebagai pengantara keamanan global.
Dalam ucapan dan temu bual, beliau kerap mendakwa berjaya menghentikan lapan peperangan walaupun tidak tepat, menggambarkan dirinya sebagai individu yang mampu menegakkan keamanan global melalui personaliti dan kemahiran rundingan.
Trump juga menegaskan kehilangan Hadiah Nobel Keamanan tidak mengganggu beliau setelah terlepas peluang untuk menggapainya pada 2025 walaupun sering meluahkan kekecewaan kerana tidak diiktiraf.
Anugerah terbaharu ini menyusuli Hadiah Keamanan FIFA, satu lagi pengiktirafan simbolik terhadap aspirasi diplomatiknya, walaupun masih jauh daripada penghormatan Nobel yang diidam-idamkannya.-AFP










