Zii Jia kunci rampas Piala Thomas

Zii Jia kunci rampas Piala Thomas

Lee Zii Jia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki utama negara Aaron Chia menekankan kepentingan menguatkan kemampuan pemain perseorangan lelaki yang dianggap kunci untuk merampas kembali Piala Thomas sejak 1992.

Beliau melihat penggunaan strategi menurunkan Lee Zii Jia sebagai pemain perseorangan lelaki ketiga sebagai cara yang paling efektif dalam kejohanan berprestij itu.

Aaron melihat Zii Jia sebagai pemain ketiga adalah strategi penting untuk mengimbangi pasukan sekali gus mencontohi peranan legenda seperti Lin Dan di penghujung kariernya bersama China.

“Saya fikir strategi yang baik ialah menempatkan Zii Jia sebagai perseorangan ketiga. Sebelum ini kita melihat pemain seperti Lin Dan bermain di posisi itu.

“Itu satu pendekatan yang mungkin berhasil tetapi saya tidak mengatakan Zii Jia perlu sengaja menurunkan ranking semata-mata untuk bermain sebagai perseorangan ketiga,” kata Aaron.

Kekurangan pemain perseorangan Malaysia terserlah baru-baru ini apabila Leong Jun Hao (No. 28 dunia) dan Justin Hoh (No. 39 dunia) gagal membutirkan hasil apabila tewas 3-0 kepada Indonesia dalam aksi final berpasukan lelaki di Sukan SEA Thailand 2025, baru-baru ini.

Ketiadaan Zii Jia yang cedera sejak pertengahan tahun ini menyebabkan ranking beliau merosot dan mengikut pengiraan secara realistik pemain itu dijangka kekal di belakang Jun Hao dan Justin ketika Piala Thomas bermula pada April ini.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu akan membuat kemunculan semula secara kompetitif di Terbuka Malaysia pada 6-11 Januari ini, selepas layak ke acara Super 1000 melalui perlindungan ranking dunia No. 8.

Walaupun sektor beregu lelaki ampuh menerusi Aaron-Soh Wooi Yik (No. 2 dunia), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (No. 4 dunia) dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (No. 7 dunia) dalam barisan, pemain kelahiran Melaka itu berharap Zii Jia dan Ng Tze Yong cepat pulih bagi membantu beban Jun Hao dan Justin.

“Kami berharap pemain seperti Zii Jia dan Tze Yong dapat kembali secepat mungkin, termasuk Leong Jun Hao dan Justin Hoh. Kami benar-benar memerlukan skuad yang kuat untuk bersaing di Piala Thomas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×