Bersatu terajui Perlis

Bersatu terajui Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail mengurniakan watikah pelantikan Menteri Besar Perlis yang baharu kepada Abu Bakar Hamzah pada Majlis Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis Yang Baharu di Istana Arau, semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kemelut politik Perlis sejak minggu lalu sehingga membawa kepada peletakan jawatan Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar berakhir apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu, semalam.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam istiadat di Istana Arau.

Majlis turut dihadiri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail, Speaker Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Perlis, Russ’sele Eizan dan barisan ADUN.

Abu Bakar, 57, yang merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) adalah salah seorang daripada lima ADUN daripada Bersatu dan tiga ADUN Pas yang menandatangani akuan bersumpah menolak kepimpinan Mohd. Shukri.

Berikutan penarikan soko­ngan lapan ADUN itu, Ramli melepaskan jawatan Menteri Besar pada Khamis lalu.

Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri dilihat antara pemimpin yang berpengalaman serta mempunyai rekod prestasi baik sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Exco Pelancongan negeri dan wakil rakyat Kuala Perlis.

Minggu lalu, selepas lapan ADUN membabitkan menandatangani akuan bersumpah menolak Menteri Besar, Pas mengambil tindakan memecat tiga ADUN yang terlibat sekali gus menyaksikan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Guar Sanji, Bintong dan Chuping dikosongkan.

Pas kemudian menghantar nama ADUN Santan, Muhammad Azmir Azizan sebagai calon Menteri Besar mengganti Mohd. Shukri memandangkan parti itu masih mempunyai jumlah ADUN paling ramai dalam DUN.

Tuanku Syed Sirajuddin menggunakan kebijaksanaan membuat keputusan dan pertimbangan terbaik memilih menteri besar baharu tersebut demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri ini.

Pelantikan Abu Bakar juga bakal menarik perhatian memandangkan komposisi di DUN Perlis itu ketika ini me­nyaksikan Pas masih majoriti iaitu enam kerusi berbanding Bersatu, lima kerusi manakala pembangkang dari PKR, satu kerusi.

Sementara itu Abu Bakar yakin Perikatan Nasional (PN) di Perlis terus kekal mentadbir sebagai satu keluarga sehingga akhir penggal.

Katanya isu perbalahan antara Pas dan Bersatu di ne­geri ini tidaklah serius dan ha­nya diperbesarkan dalam kalangan parti politik lain.

“Kami yakin kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dapat menyelesaikan isu yang berlaku,” katanya selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan di Istana Arau semalam.

Berhubung rombakan barisan Exco kerajaan negeri, Abu Bakar berkata beberapa perkara perlu diselesaikan dahulu bagi memastikan keseimbangan antara Pas dan Bersatu dalam pentadbiran.

“PN adalah gabungan Pas dan Bersatu, jadi kita akan tetapkan kesamarataan,” katanya.

Beliau juga menjunjung kasih atas perkenan Raja Perlis memilihnya memegang jawatan tersebut dan menegaskan sebarang perbalahan selepas ini akan diselesaikan dengan segera.

“Saya yakin dengan adanya Setiausaha Kerajaan Negeri dan rakan-rakan lain, kita dapat membantu menambah pembangunan di Perlis,” katanya.

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×