KOTA BHARU: Usaha Pas mengajak UMNO membentuk semula Muafakat Nasional (MN) membuktikan parti itu sudah bankrap idea kerana bergantung kepada eksperimen politik lama yang ditolak rakyat.
Naib Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan), Dr. Hafidzah Mustakim berkata, percubaan menghidupkan semula MN bukan membawa agenda baharu, sebaliknya mengulangi skrip lama sebelum ini mencetuskan ketidakstabilan, perpecahan serta kegagalan tadbir urus.
“MN bukan gagasan baharu. Ia eksperimen lama yang telah diuji dan gagal.
“Rakyat tidak perlukan kitar semula kerjasama politik yang terbukti hanya menguntungkan elit kuasa, bukan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berpandangan cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk mewujudkan semula MN boleh diteruskan jika UMNO memutuskan kerjasama dengan PH.
Dr. Hafidzah berkata, gesaan itu dilihat sekadar percaturan politik untuk menangguk di air keruh ketika pembangkang gagal menawarkan penyelesaian konkrit terhadap tekanan kos sara hidup yang menghimpit rakyat.
Belliau mahu Pas supaya menjelaskan kepada rakyat berkenaan nilai baharu ingin dibawa sekiranya MN dihidupkan sedangkan pengalaman lalu termasuk di Perlis membuktikan kerjasama itu membawa lebih banyak konflik dalaman.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama itu, rakyat bergelut dengan kenaikan harga barang dan kos kehidupan namun pembangkang masih terperangkap dengan permainan kuasa lama.
“Jika benar ingin bercakap soal kestabilan, tunjukkan nilai dan agenda baharu. Jangan ulang eksperimen yang sama dan mengharapkan hasil berbeza.
“Retorik menghidupkan MN tidak akan mampu menutup kegagalan pembangkang dalam mengurus isu asas rakyat, khususnya kos sara hidup dan kesejahteraan ekonomi,” katanya.-UTUSAN










