YANGON: Myanmar bersiap sedia mengadakan pilihan raya pada 28 Disember ini, kali pertama sejak tentera melakukan rampasan kuasa pada 2021.
Namun, dengan bekas pemimpin Aung San Suu Kyi dipenjarakan, parti politik utama dibubarkan dan kira-kira satu per tiga negara berada di kawasan konflik atau dikuasai pemberontak, ramai meragui janji junta mengenai pilihan raya akan ‘bebas dan adil’.
Rakyat seperti Pai, 25, yang melarikan diri dari Myanmar selepas rampasan kuasa berkata, pilihan raya berkenaan bukanlah untuk rakyat, sebaliknya untuk pemimpin junta mengekalkan kedudukan dan kuasa masing-masing.
“Ini bukan untuk rakyat, ini untuk diri mereka sendiri. Mereka (junta) sedang mencari jalan keluar dari perangkap yang mereka hadapi,” katanya.
BUKAN PUASKAN HATI DUNIA
Jurucakap junta, Zaw Min Tun berkata, pilihan raya dijalankan untuk rakyat Myanmar, bukan untuk memuaskan hati komuniti antarabangsa.
Katanya, sama ada komuniti antarabangsa berpuas hati atau tidak adalah tidak relevan.
Walau bagaimanapun, kerajaan Barat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menolak pilihan raya ini sebagai sandiwara politik.
China, sekutu utama junta pula memberikan sokongan penuh dan melihat undian ini sebagai jalan terbaik untuk menstabilkan negara, termasuk membantu tentera kembali menguasai kawasan konflik yang kritikal.
Sejak awal tahun hingga 28 November 2025, analisis menunjukkan serangan udara dan dron tentera meningkat kira-kira 30 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan infrastruktur awam seperti sekolah dan hospital menjadi sasaran hampir setiap hari.
Pada bulan ini sahaja, puluhan maut dalam serangan tentera terhadap sebuah hospital di negeri Rakhine, yang sebahagiannya dikuasai oleh Arakan Army.
Penculikan berkaitan pengambilan tentera meningkat 26 peratus, dengan orang ramai diseret dari jalan atau rumah mereka untuk dipaksa berkhidmat, ketika tentera cuba menampung kekurangan anggota.
HUKUMAN MATI JIKA KRITIK PILIHAN RAYA
Terdapat ketegangan tinggi dalam kalangan rakyat Myanmar apabila undang-undang perlindungan pilihan raya baharu membolehkan hukuman penjara minimum tiga tahun dan hukuman mati bagi mereka yang mengkritik pilihan raya.
Sejak Julai, lebih 200 orang ditangkap, termasuk kerana hanya menyukai hantaran media sosial yang mengkritik undian.
Aktivis prodemokrasi di bandar seperti Yangon melaporkan pihak berkuasa pergi dari rumah ke rumah mengarahkan orang ramai untuk mengundi.
Pakar menegaskan rakyat mungkin tiada pilihan lain selain patuh kepada arahan tersebut kerana takut akan tindakan balas.

Pilihan raya ini menyaksikan 57 parti bertanding, tetapi majoritinya dianggap bergantung kepada tentera.
Parti Union Solidarity and Development yang disokong tentera menampilkan jumlah calon terbesar dan hampir bertanding tanpa saingan di banyak kawasan.
Parti Aung San Suu Kyi iaitu National League for Democracy (NLD) yang memenangi kemenangan besar pada 2020, dibubarkan selepas enggan mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya yang dikawal junta.
Selain itu, puluhan parti etnik turut dibubarkan, dengan lebih 57 peratus parti pada pilihan raya 2020 kini tidak wujud, walaupun menerima lebih 70 peratus undi dan 90 peratus kerusi.
DIKECUALIKAN MENGUNDI
Kira-kira satu per tiga negara akan dikecualikan daripada pengundian, termasuk 56 daerah dan 3,000 kawasan kecil.
Banyak kawasan masih dalam pertempuran sengit atau dikuasai kumpulan pembangkang. Sejak rampasan kuasa 2021, tentera menghadapi tentangan hebat daripada komuniti tempatan yang menubuhkan pasukan pertahanan rakyat, sementara kumpulan bersenjata etnik lama turut melancarkan serangan.
Walaupun tentera melancarkan serangan udara dan keganasan berterusan yang dianggap pakar PBB sebagai kemungkinan jenayah perang, mereka kehilangan kawalan terhadap kawasan sempadan yang luas, sehingga menimbulkan spekulasi junta mungkin digulingkan.
Sokongan China membolehkan tentera mengekalkan kuasa, termasuk menyerahkan semula beberapa wilayah yang ditawan kumpulan bersenjata etnik TNLA dan MNDAA.
Tentera menggunakan peluang ini untuk memaksa perkhidmatan wajib, memanfaatkan dron dengan lebih berkesan dan memperbaiki rantai komando untuk membolehkan serangan udara dijalankan lebih pantas.
Menjelang pilihan raya, tentera meningkatkan pengeboman untuk mengukuhkan kawalan di kawasan yang akan mengundi.
Pakar menyatakan sebarang gencatan senjata selepas pilihan raya hanyalah bersifat taktikal, bertujuan memberi kelebihan tentera di kawasan lain dan bukan petanda kepada kerajaan sivil yang lebih lembut atau demokratik.









