KUALA LUMPUR: “Kami cuba buka pintu mahu selamatkan mereka namun pintu terkunci dan seakan terhalang dengan barang.”
Demikian perkongsian jiran kepada dua beranak yang ditemukan maut dalam kebakaran di Flat Sentul Utama, Jalan Dato Senu di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira- kira 7 pagi itu, seorang wanita warga emas berusia 80-an serta anaknya berusia 40-an ditemukan meninggal dunia dalam tandas di lokasi kejadian.
Jiran yang ingin dikenali sebagai Eddy, 30-an, berkata, ketika kejadian, dia baru pulang dari menghantar anaknya ke tempat pengasuh sebelum menyedari terdapat asap di rumah terbabit.
Bagaimanapun, katanya, dia beranggapan itu perkara biasa memandangkan jiran lelaki yang tinggal di rumah itu dikenali sebagai Pak Tam selalu membakar barang dalam rumah terbabit.
“Pak Tam dan ibunya yang kami panggil Opah memang penduduk asal di situ, mereka duduk berdua manakala tiga anaknya tinggal berasingan.
“Kami tahu anak Opah memang suka bakar benda untuk halau nyamuk.. kadang-kadang kertas, alas telur dan sebagainya.
“Bagaimanapun, pagi tadi kira-kira pukul 6.30 pagi, saya lihat asap itu tebal dari biasa jadi saya dan beberapa jiran lain cuba mengetuk pintu dan mahu membukanya bagi membawa kedua-dua mereka keluar.
“Namun, pintu seakan terhalang dengan barang dan berkunci jadi gagal membukanya serta menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Institut Forensik Perubatan Negara (IFPN) di sini hari ini.
Menurutnya, dia yang berjiran dengan kedua-dua mangsa sejak empat tahun lalu jarang melihat mereka keluar rumah namun kali terakhir melihat Pak Tam, dua hari lalu.
“Isteri saya selalu tegur dan bersembang dengan Opah kerana memang nampak dia duduk dalam rumah kerana keadannya uzur.
“Anaknya memang sudah lama jaga Opah,selalu belikan makanan dan sebagainya jadi tidak sangka perkara ini berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan ada kebakaran di lokasi kejadian pada 7.13 pagi.
Katanya, polis yang tiba di lokasi mendapati kebakaran berjaya dipadamkan pihak bomba namun punca-punca kebakaran masih dalam siasatan lanjut.
“Dimaklumkan terdapat kemalangan jiwa berlaku membabitkan wanita warga emas berusia 80-an bersama lelaki berusia 40-an yang meninggal dunia di dalam tandas.
“Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat,” katanya.- UTUSAN











