MARANG: Pas sudah mengemukakan nama untuk dipertimbang sebagai calon Menteri Besar Perlis baharu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Mohd. Shukri Ramli yang melepaskan jawatan itu.
Tindakan itu bagi pertimbangan dan mendapatkan perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengesahkan perkara tersebut bagaimanapun enggan mendedahkan identiti calon berkenaan buat masa ini.
Katanya, Pas juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya negeri (PRN) sekiranya diperlukan.
“Pas ada enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kami telah mengemukakan senarai calon yang difikirkan layak,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini hari ini. – UTUSAN










