Keusahawanan dalam dunia moden memerlukan ketahanan, disiplin dan kesediaan untuk menghadapi cabaran secara terus-menerus bagi memastikan daya saing.
Justeru, aspek tersebut menjadi kriteria penting yang ditetapkan dalam penganjuran anugerah Most Influential Young Entrepreneurs (MIYE) edisi 2025 yang kini menyambut ulang tahun ke-10 tahun ini.
Ini sekali gus berjaya meletakkan acara ini sebagai penanda aras kecemerlangan keusahawanan yang tinggi di negara ini dalam mengiktiraf kepimpinan, inovasi serta daya tahan generasi baharu pemimpin.
Pengerusi Penganjurnya, Datuk KK Chua berkata, acara itu semakin mendapat tempat dalam kalangan komuniti perniagaan berbilang bangsa dan telah menerima 1,300 pencalonan pada edisi kali ini.
Bagaimanapun, hanya 100 calon sahaja yang terpilih untuk menerima anugerah keusahawanan tersebut.
“Kami berbangga kerana 100 calon yang terpilih ini merintis kejayaan daripada satu perjalanan yang panjang, menunjukkan kesungguhan untuk berjaya dan sewajarnya jerih perih mereka diraikan dalam anugerah seperti ini,” katanya.
Edisi kali ini bertemakan Reimagine selaras hasrat penganjur untuk menyuntik lebih keyakinan kepada semua usahawan muda supaya sentiasa berfikiran positif keluar dari pemikiran lama menuju kepada yang baharu.
Dalam pada itu, Chua berkata, dunia perniagaan dan keusahawan alaf ini memerlukan mereka yang benar-benar bekerja keras dan sanggup menempuh segala rintangan untuk berjaya dalam persaingan.
“Mereka perlu melalui pelbagai proses yang akhirnya membantu mereka bertindak matang dalam pengurusan dan membuat keputusan.
“Bukan sekadar memperbaiki yang sudah ada, tetapi mempersiapkan diri untuk membangunkan gagasan yang lebih kukuh, sentiasa mencari dan mencipta peluang baru sehingga mampu melangkah ke peringkat global,” jelasnya.











