Sekolah tidak boleh tolak

Sekolah tidak boleh tolak

SEKOLAH baharu tidak boleh menolak kemasukan murid ke sekolah dan harus menerima sesiapa sahaja pelajar yang layak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekolah tidak boleh menolak kemasukan murid baharu atau pelajar yang berpindah kerana masalah disiplin dan mempunyai rekod kesihatan fizikal atau mental.

Laporan disiplin dan kesihatan yang dibawa oleh pelajar terbabit hanya untuk rujukan bagi pemantauan pihak guru di sekolah yang baharu.

Menegaskan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, laporan kesihatan dan rekod disiplin murid hanya untuk maklumat pihak pengurusan sekolah baharu bagi mengambil tindakan sewajarnya dan memberikan pemerhatian khusus kepada murid berkenaan.

“Sekolah baharu tidak boleh menolak kemasukan murid ke sekolah. Pihak sekolah wajib menerima sesiapa sahaja anak-anak kita yang layak.

MOHD. AZAM AHMAD

“Laporan kesihatan itu untuk membantu anak-anak tersebut sekiranya memerlukan rawatan berkala misalnya, maka pastikan tarikh cuti diuruskan dengan sewajarnya.

“Contoh lain jika murid itu menghidap sakit buah pinggang, tetapi guru tiada maklumat kesihatan murid, ia boleh merisikokan kesihatan murid itu jika tidak diberi tempat duduk yang bersesuaian.

“Kalau murid itu menghidap sakit jantung berlubang pula, tetapi guru tidak tahu dan menepuk belakang murid itu hanya untuk menunjukkan kemesraan antara guru dan murid, tetapi disebabkan perbuatan kecil itu boleh memberi kesan kepada kesihatannya, itu yang merisaukan,” katanya di sini semalam.

Semalam, Mohd. Azam memberitahu, semua pelajar yang bertukar sekolah mesti melampirkan laporan kesihatan termasuk keadaan mental serta laporan disiplin pelajar tersebut bermula tahun hadapan.

Langkah itu antara garis panduan baharu yang akan dikeluarkan oleh KPM berkaitan keselamatan sekolah, termasuk isu buli, gangguan seksual dan keselamatan fizikal bermula sesi persekolahan 2026.

Pada masa ini, Jawatankuasa Khas Keselamatan Sekolah KPM sedang menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) sekolah yang mungkin tidak lagi relevan, agar lebih selaras dengan keperluan semasa.

Dalam pada itu, Mohd. Azam turut memberi amaran kepada pihak sekolah untuk tidak menyebarkan segala data murid terutama melibatkan rekod kesihatan dan disiplin.

Katanya, perkara berkaitan data murid adalah tertakluk kepada data privasi peribadi dan sulit (PnC), bukannya untuk tujuan edaran umum.

“Pihak sekolah tidak dibenarkan sama sekali mendedahkan data peribadi murid sehingga memalukan murid tersebut. Jika itu berlaku, guru atau pihak sekolah yang didapati berbuat demikian, boleh diambil tindakan tatatertib,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, garis panduan baharu itu sangat penting bagi membantu guru mengenal latar belakang pelajar tersebut.

Katanya, rekod lengkap pelajar perlu disediakan setiap kali mereka berpindah ke sekolah baharu.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat murid yang berpindah tanpa dokumen peribadi yang lengkap, sekali gus menyukarkan guru di sekolah baharu mereka untuk memahami latar belakang pelajar.

Tambah beliau, ini merupakan langkah yang penting bagi intervensi awal dijalankan, termasuk pemantauan, bimbingan dan pencegahan terhadap salah laku seperti buli atau gangguan seksual.

“Apabila pelajar berpindah, pihak sekolah baharu perlu mempunyai akses kepada rekod kesihatan, akademik, dan disiplin mereka. Ini membolehkan guru memahami latar belakang murid sebelum mereka menyertai kelas baharu.

“Kadang-kadang guru menerima pelajar tanpa mengetahui masalah yang dihadapi, termasuk isu kesihatan mental,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×