Sabtu lalu, media tempatan melaporkan jumlah kematian Covid-19 menurun dari angka 126 pada 2 Jun lalu ke paras 109 orang tetapi jumlah jangkitan masih tinggi, iaitu 7,452 kes. Jangkitan Covid-19 di seluruh negara kini melepasi setengah juta, iaitu 601,574 kes.
Mengikut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, jumlah kematian keseluruhannya sehingga 2 Jun lalu adalah 2,993 orang. Pada 5 Jun lalu, angka ini meningkat ke 3,182. Dalam tempoh tiga hari, angka kematian hampir 200 orang, satu gambaran yang menakutkan.
Turut meresahkan adalah keupayaan sistem kesihatan negara kini mencemaskan, katil di unit rawatan rapi (ICU) semakin habis (penuh digunakan), begitulah juga tempat menyimpan mayat.
Liew Chin Tong (bekas timbalan menteri) menegur pendekatan kerajaan yang mahu terus menseimbangkan ‘nyawa dengan kehidupan,’ sambil menyifatkan dasar membenarkan sebahagian ekonomi diteruskan sebagai satu kesilapan besar. Beliau menggesa kerajaan melakukan apa sahaja berhabis-habisan kerana jika Covid-19 tidak dapat dikalahkan, ekonomi tidak akan pulih.
Wartawan Frankie D’Cruz mempersoal dasar kerajaan membenarkan 128,150 syarikat (dengan 1.57 juta pekerja) beroperasi semasa negara dikenakan penutupan (lockdown) dari 1 hingga 14 Jun ini.
MISI NASIONAL
Rakyat kini mahu Parlimen dibenarkan bersidang supaya semua 220 ahli Parlimen (dua lagi kerusi, Batu Sapi dan Gerik kosong berikutan kematian dua penyandangnya) boleh berpadu tenaga dan fikiran merangka satu pelan komprehensif untuk mengalahkan musuh yang kita tidak nampak ini.
Alangkah lebih baik dan bermanfaat jika ahli Parlimen kita tidak terus bertikam lidah mengenai isu politik, sebaliknya duduk semeja berganding bahu melawan satu musuh bersama.
Mulakanlah dengan mengisytiharkan ‘gencatan perang politik’ sesama mereka, selepas itu gerakkan battle plans untuk melawan Covid-19. Jangan lupa gembleng sama tenaga penjawat awam, pelajar universiti, anggota beruniform dalam semua agensi penguatkuasaan serta kumpulan sukarelawan. Jom, kita jadikan perang Covid-19 ini satu misi nasional.
Sepatutnya sejak awal lagi semua pihak dilibatkan dan digerakkan bersama termasuklah hospital swasta, klinik swasta, pejabat kesihatan, pusat vaksinasi bergerak, vaksinasi pandu lalu dan seumpamanya. Mengikut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), ada 7,000 pengamal perubatan (GP) dan 1,000 klinik pakar yang sepatutnya diminta menyumbangkan tenaga mereka.
PANDEMIK ALASAN DARURAT
Kerajaan menggunakan penularan pandemik Covid-19 sebagai alasan mengisytiharkan darurat (berkuat kuasa 11 Januari lalu), menggantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, dan meluluskan Ordinan Darurat. Disebabkan Parlimen digantung, tidak ada ruang untuk semak dan imbang. Tidak ada peluang bagi ahli Parlimen membahaskan dan Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) memeriksa dan meneliti bagaimana wang rakyat dibelanjakan untuk memerangi pandemik ini.
Darurat dijadual berakhir 1 Ogos ini tetapi sudah ada desas-desus akan dilanjutkan lagi. Disebabkan Parlimen tidak bersidang, apa jua kepakaran dan buah fikiran yang pasti ada pada ramai ahli Parlimen yang boleh membantu kerajaan memerangi pandemik ini tidak dapat dikongsi bersama dan dimanfaatkan. Ini satu pembaziran.
Mengikut sebuah portal berita pada 4 Jun lalu, sudah timbul selisih pendapat antara menteri Kabinet tentang isu penggantungan Parlimen. Ada yang mahu tempoh darurat dilanjutkan dan Parlimen terus digantung, dan ada pula yang mahu Parlimen segera bersidang.
Golongan kedua ini berkata, sekiranya Parlimen terus tidak bersidang, kemungkinan mereka ‘akan hilang kredibiliti untuk menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).’
Golongan ini sedar, rakyat mahu jawapan kenapa angka jangkitan Covid-19 terus naik walaupun darurat sudah lama berjalan. Mereka juga mahu tahu bagaimana kerajaan akan memperbaiki ekonomi negara terutama mewujudkan peluang pekerjaan?
PARLIMEN BOLEH BERSIDANG
Pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah, Parlimen boleh bersidang pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai. Malangnya hingga hari ini, ‘tarikh’ itu belum ditetapkan walaupun pelbagai pihak menyarankan persidangan boleh dilakukan secara maya atau hibrid.
Ada menteri berkata, Parlimen tidak wajar bersidang kerana ramai ahli Parlimen warga emas dan berisiko tinggi untuk dijangkiti virus Covid-19. Jadi, demi kesihatan mereka, eloklah Parlimen tidak bersidang. Apabila ditanya kenapa tidak boleh bersidang secara maya atau hibrid, timbul pula jawapan: “Sukar dilakukan kerana beberapa peraturan dan undang-undang perlu dibuat terlebih dahulu.”
Menteri Dalam Negeri baru-baru ini menyatakan, sekiranya Parlimen bersidang secara fizikal, pasti akan ada Kluster Parlimen pula. Sekiranya Parlimen hendak bersidang secara maya, ‘banyak masalah akan timbul.’ Tambahnya lagi, jika Parlimen bersidang secara fizikal, lebih 1,000 orang akan terlibat sama. Bukan hanya ahli Parlimen tetapi juga pegawai kerajaan, pegawai Parlimen, warga kerja kafeteria, pemandu dan kebanyakan mereka ini akan jadi ‘titik panas.’
Syukurlah, Speaker Dewan Rakyat sendiri kini sudah yakin Parlimen boleh bersidang secara hibrid. Mingguan Malaysia kelmarin memetik Speaker sebagai berkata: “Persidangan Parlimen boleh dipanggil pada bila-bila masa. Sebenarnya, perkara persidangan secara hibrid telah dikaji dan diteliti.”
Apabila Parlimen bersidang nanti, kesemua 220 ahli Parlimen boleh berbahas dan memutuskan sendiri, apakah darurat sekarang wajar diteruskan atau ditamatkan.
Cukuplah dengan kali pertama dahulu apabila isu darurat ini diputuskan oleh Perdana Menteri setelah menasihati Yang di-Pertuan Agong. Kali ini, biarlah Parlimen sendiri memutuskannya, berasaskan ‘apa yang baik untuk rakyat,’ bukan untuk kepentingan sempit mana-mana pihak tertentu.
Jika darurat difikirkan amat perlu untuk memerangi pandemik ini, teruskanlah. Jika darurat tidak perlu, hentikanlah. Kata doktor, bila makan salah ubat, penyakit tidak sembuh, sebaliknya penyakit makin menjadi parah.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.











