KEKALAHAN DAP di kesemua kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini jelas memberi kesan besar terhadap psikologi dan keyakinan kepimpinan parti itu.
Kekalahan tersebut bukan sekadar kegagalan taktikal di peringkat negeri tetapi mencetuskan kebimbangan yang lebih mendalam dengan kemungkinan berlakunya gelombang penolakan pengundi, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina di Semenanjung Malaysia.
Kebimbangan ini bukan tanpa asas. Dalam tempoh terdekat, beberapa PRN dijangka berlangsung sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), termasuk di Melaka, Johor dan Sarawak. Sekiranya sokongan pengundi Cina terhadap DAP merosot dengan ketara, parti itu bakal berdepan cabaran besar untuk mengekalkan kedudukan politiknya pada peringkat nasional.
Dalam konteks inilah, langkah kepimpinan DAP kembali memfokuskan isu-isu yang dilihat dekat dengan sentimen etnik, meskipun sebahagiannya berpotensi bercanggah dengan kepentingan nasional. Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah aliran Cina kembali diangkat sebagai agenda utama, seolah-olah menjadi instrumen politik untuk mengikat semula kesetiaan pengundi sasaran.
Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, secara terbuka menyatakan hasrat parti itu untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mendesak kerajaan mengiktiraf sijil peperiksaan itu.
Lebih membimbangkan, desakan ini disertai nada ugutan politik apabila beliau menyatakan kemungkinan DAP menarik diri daripada kerajaan sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi.
Kenyataan sebegini jelas mencerminkan tekanan yang cuba dikenakan terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan, seolah-olah kelangsungan politik kerajaan bergantung sepenuhnya kepada kehendak satu parti.
Pendekatan sedemikian bukan sahaja berisiko menimbulkan ketegangan dalam kerajaan, malah membuka ruang perbalahan yang lebih luas dalam masyarakat.
Seperti ditegaskan Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, isu UEC bukan sekadar perdebatan pendidikan tetapi telah lama menjadi masalah berpanjangan yang mengganggu tumpuan kerajaan dalam mentadbir negara secara menyeluruh.
Menurut beliau, tuntutan pengiktirafan UEC tidak berteraskan pendekatan nasional, sebaliknya sarat dengan kepentingan kelompok tertentu. Hal ini berpotensi mencetuskan polarisasi masyarakat antara pihak yang menyokong dan menentang, sekali gus menggugat asas perpaduan negara. Dalam keadaan ini, DAP dilihat lebih mengutamakan kelangsungan politiknya berbanding kesan jangka panjang terhadap keharmonian nasional.
JEJAS INTEGRITI PENDIDIKAN
Tidak dapat dinafikan, isu UEC mempunyai implikasi besar terhadap sistem pendidikan kebangsaan. Sekiranya sijil ini diiktiraf secara rasmi, ia boleh menjejaskan kedudukan dan integriti sistem pendidikan nasional yang selama ini menjadi asas pembinaan negara bangsa.
Pengiktirafan tersebut seolah-olah menyamaratakan sistem pendidikan kebangsaan dengan aliran pendidikan yang tidak berlandaskan bahasa kebangsaan dan kurikulum nasional.
Walaupun terdapat hujah yang sering dikemukakan mengenai kelebihan sekolah aliran Cina, namun ia tidak seharusnya mengatasi kepentingan dan keutamaan sistem pendidikan kebangsaan.
Hakikatnya, sekolah aliran Cina beroperasi di luar kerangka pendidikan nasional, termasuk dari segi bahasa pengantar, kurikulum dan orientasi pendidikan. Keadaan ini menimbulkan persoalan besar tentang pembinaan identiti nasional, semangat patriotisme dan kesetiaan kepada Perlembagaan.
Sejarah juga menunjukkan kerajaan terdahulu amat berhati-hati dalam isu ini. Walaupun pelaksanaan UEC dibenarkan di sekolah swasta sejak 1975, namun tidak pernah disertai pengiktirafan rasmi kerajaan.
Begitu juga pada 2012, apabila pengiktirafan bersyarat diberikan semata-mata untuk pengambilan guru pelatih bahasa Cina ke Institut Pendidikan Guru (IPG), langkah itu tidak pernah dimaksudkan sebagai pengiktirafan menyeluruh sijil UEC. Namun, pengalaman lalu membuktikan sebarang kelonggaran bersyarat sering dijadikan asas kepada tuntutan yang lebih meluas, seperti yang berlaku hari ini.
Lebih membimbangkan, pengiktirafan UEC berpotensi membuka pintu kepada tuntutan pengiktirafan sijil-sijil lain di luar sistem pendidikan kebangsaan.
Jika ini berlaku, sistem pendidikan negara akan kehilangan arah, identiti dan matlamat asalnya. Justeru, kerajaan perlu jelas dan tegas yang kepentingan pendidikan nasional tidak boleh dikompromi atas tekanan politik.
BUAT KEPUTUSAN TEGAS
Dalam hal ini, kerajaan tidak perlu terus terperangkap dalam kitaran kajian demi kajian yang tidak berkesudahan. Perbezaan antara sekolah kebangsaan dan sekolah aliran Cina sudah jelas. Apa yang lebih penting ialah keberanian politik untuk membuat keputusan berasaskan kepentingan jangka panjang negara, walaupun keputusan itu tidak popular dalam jangka pendek.
Seperti yang ditegaskan Kok Seong, sudah tiba masanya kerajaan pusat menyatakan pendirian nasionalistik tanpa kompromi agar perdebatan mengenai UEC dapat ditamatkan secara tuntas.
Kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah menengah jenis kebangsaan Cina telah pun diperuntukkan di bawah Akta Pendidikan 1996. Itu sudah memadai sebagai manifestasi kepelbagaian dalam kerangka nasional.
DAP juga wajar memahami dasar keterbukaan dan kesederhanaan kerajaan tidak bermaksud semua tuntutan harus dilayan tanpa had.
Pendidikan adalah teras pembinaan negara bangsa. Ia tidak boleh dijadikan medan tawar-menawar politik atau alat untuk mengekalkan survival parti.
Akhirnya, kepimpinan politik perlu lebih bertanggungjawab dalam menangani isu sensitif seperti UEC. Manipulasi sentimen pendidikan demi kepentingan politik jangka pendek hanya akan merugikan negara.
Apa yang lebih diperlukan ialah kejujuran politik, kebijaksanaan kepimpinan dan komitmen tulen terhadap perpaduan serta kedaulatan pendidikan nasional.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










