SHAH ALAM: Badan Perhubungan UMNO Selangor menyokong tindakan pergerakan pemuda UMNO negeri ini yang menyerahkan memorandum tuntutan kepada Ahli Parlimen Puchong dari DAP, Yeo Bee Yin dan menyifatkannya sebagai wajar.
Malah, tindakan tersebut juga menunjukkan Pemuda UMNO Selangor berprinsip dan berpaksikan kepada kepentingan institusi negara, bukan bersifat emosi atau kepartian sempit.
Katanya dalam kenyataan, tindakan Bee Yin itu tidak beradab dan gagal menghormati semangat rakan dalam Kerajaan Perpaduan serta proses perundangan yang masih mempunyai saluran dan mekanisme sah di sisi undang-undang.
“Dalam konteks itu, sebarang bentuk perayaan, sindiran atau kenyataan sinis terhadap keputusan mahkamah yang berkait rapat dengan isu berkenaan boleh ditafsirkan sebagai memperlekehkan kepentingan titah raja, sekali gus menimbulkan persoalan serius tentang tahap penghormatan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
“UMNO Selangor juga mengingatkan proses perundangannya belum mencapai penamat keseluruhan, memandangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan melalui saluran sah,” katanya, hari ini.
Malah, katanya, dalam konteks politik semasa, UMNO juga mengambil pendekatan dengan tidak meraikan atau mengkritik parti-parti yang merosot keputusannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November lalu.
“UMNO juga tidak pernah meraikan kekalahan mana-mana parti lawan, termasuk keputusan pilihan raya negeri di Sabah baru-baru ini, walaupun ia melibatkan kegagalan DAP memperoleh sebarang kerusi. Inilah perbezaan ketara antara politik beradab dan politik ejekan.
“UMNO Selangor menyeru pimpinan DAP di Selangor, khususnya Bee Yin, menghentikan politik sindiran dan provokasi, menghormati sensitiviti rakyat serta bertindak secara bertanggungjawab dengan menurunkan hantaran berkenaan dan memohon maaf secara terbuka demi memulihkan keharmonian politik,” ujarnya. – UTUSAN









