ALOR GAJAH: Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) memperkenalkan aplikasi MySAMB bagi memudahkan pengguna menyemak dan membuat pembayaran bil hanya dihujung jari.
Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd. Saleh Yusman berkata, pengenalan sistem baharu itu juga dijangka memudahkan lebih 365,095 pengguna berdaftar menerima notifikasi bekalan air secara masa nyata.
Menurutnya, selain itu aplikasi itu turut memudahkan pengguna mengurus akaun dengan pantas, selamat dan mudah serta tidak lagi perlu datang ke pejabat SAMB dan cawangannya di seluruh negeri.
“Sejak aplikasi ini diperkenalkan pada 5 Disember lalu seramai 10,000 pengguna berdaftar telah menggunakan aplikasi ini.
“SAMB menyasarkan dapat menarik minat lebih 50,000 penggunakan menggunakan aplikasi ini menjelang suku pertama tahun hadapan,” ujarnya kepada pemberita pada Majlis Hi Tea dan Doa Restu Meraikan Bakal Jemaah Umrah dan Ziarah Keagamaan SAMB 2026 serta Pelancaran MySAMB Aps – Mobile Apps SAMB di Villa Harmoni A’Famosa Resort di sini semalam.
Mohd. Saleh berkata, pengguna boleh membuat aduan, permohonan baharu, penamatan bekalan air termasuk apa sahaja isu boleh dibuat melalui aplikasi tersebut.
Menurutnya, beliau memberi jaminan sebarang aduan berkait bekalan air sama ada di rumah atau mana premis akan dapat diselesaikan dalam masa seminggu.
Sehubungan itu katanya, menjelang pertengahan tahun depan jika sistem ini digunakan sepenuhnya oleh pelanggan tetap SAMB menyasarkan semua aduan dapat diselesaikan dalam tempoh antara tiga atau empat hari.
“Dulu pengguna terpaksa datang ke pejabat SAMB untuk menyelesaikan apa sahaja masalah namun selepas ini tidak lagi jika mereka berdaftar dengan aplikasi ini,” ujarnya.
Menurutnya, peluncuran aplikasi itu membuktikan bahawa SAMB bukan sekadar penyedia perkhidmatan, tetapi sebagai peneraju transformasi digital berorientasikan keperluan pelanggan. – UTUSAN











