Pornchai akui regu Malaysia terbaik dunia

Pornchai akui regu Malaysia terbaik dunia

Bekas bintang sepak takraw Thailand, Pornchai Kaokaew (kiri) melakukan libasan sambil dihadang pemain Malaysia, Mohammad Syahir Mohd. Rosdi dalam aksi final regu Sukan Asia Palembang 2018. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Bekas perejam terbaik dunia, Pornchai Kaokaew mengakui sepak takraw Thailand perlu disusunkan semula selepas gagal di Sukan SEA Thailand 2025.

Katanya, skuad Gajah Perang menerima tamparan menyakitkan selepas kegagalan mempertahankan pingat emas dalam acara regu dan berpasukan pada temasya itu.

Pornchai tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dengan prestasi semasa pasukan negaranya itu dan menyifatkan Malaysia ketika ini memiliki regu terbaik dunia.

“Apa yang terjadi dengan sepak takraw di Thailand ketika ini saya sangat terkejut. Jika tewas kepada Malaysia, tidak mengapa kerana persaingan sengit, tetapi tewas di separuh akhir kepada Vietnam adalah sesuatu yang pelik.

“Saya tidak jangka ia berlaku kerana Thailand mahu meraih emas dalam acara regu. Semua menjangkakan Thailand akan berdepan Malaysia di final. Saya benar-benar terkejut,” kata Pornchai.

Thailand tewas 1-2 kepada Malaysia dalam acara berpasukan selepas 34 tahun, manakala dalam acara regu mereka dimalukan oleh Vietnam dalam pertarungan tiga set.

Menurutnya, trio regu Pornthep Tinbangbon, Tanaphon Sapyen, Marukin Phanmakon serta Varayut gagal menyekat kebangkitan Vietnam sebelum tumbang 13-15, 15-6, 9-15.

Pornchai turut mendedahkan punca utama kejatuhan prestasi Thailand berbanding kebangkitan mendadak Malaysia adalah disebabkan kekurangan kejohanan kompetitif di peringkat domestik seperti liga di Malaysia.

“Pertama, Thailand tidak mempunyai banyak pertandingan. Jika dibandingkan dengan Malaysia, mereka ada STL setiap minggu dan pengurusan kewangan yang baik.

“Pemain Malaysia sentiasa berada dalam tekanan kompetitif. Setiap kali berdepan perlawanan sukar, mereka sudah terbiasa dengan persekitaran itu dan tahu bagaimana untuk menyerap tekanan.

“Di Thailand, hanya ada sekitar dua kejohanan sahaja untuk pasukan, malah pemain kebangsaan juga jarang menyertainya,” jelas lagenda sepak takraw Thailand itu.

Pornchai turut menyuarakan kebimbangan mengenai kelibat pemain Malaysia yang memiliki tekong muda seperti Haziq Hairul Nizam.

“Anda lihat Haziq baru berumur 24 tahun. Tetapi 95 peratus emain Thailand kini berumur lebih dari 30 tahun. Saya rasa lima tahun akan datang, Thailand akan sukar untuk kembali mendominasi sukan ini jika kita tidak berubah sekarang. Kita perlu fokus kepada generasi baharu,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×