Tanah menurun 5cm tiap tahun, Bandung semakin tenggelam

Tanah menurun 5cm tiap tahun, Bandung semakin tenggelam

SEBUAH kereta kuda membawa penumpang merentasi jalan yang dinaiki air banjir berhampiran sebuah stesen minyak terbiar di Bandung, Jawa Barat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bandung: Tanah di kawasan Greater Bandung mengalami penurunan pada kadar melebihi lima sentimeter (cm) setahun, satu fenomena yang turut direkodkan di beberapa bandar pesisir di Pulau Jawa, menurut Badan Geologi Indonesia pada Ahad.

Fenomena itu menimbulkan kebimbangan khususnya di Bandung yang terletak dalam sebuah lembangan tanah tinggi, memandangkan penurunan tanah lazimnya lebih sering dikaitkan dengan kawasan pesisir pantai.

Penurunan tanah merujuk kepada proses mendapnya permukaan bumi secara beransur-ansur, lazimnya berlaku dalam tempoh bertahun-tahun atau berdekad-dekad.

Ia berlaku apabila bahan bawah tanah yang menyokong permukaan seperti tanah, tanah liat, pasir atau batuan mengalami pemadatan atau runtuhan.

Secara semula jadi, kawasan yang terbentuk daripada sedimen muda, bekas tasik atau tanah aluvium lembut lebih mudah mengalami penurunan kerana bahan ini mudah termampat.

Aktiviti manusia pula sering mempercepatkan proses tersebut, khususnya melalui pengambilan air tanah secara berlebihan.

Apabila air tanah dipam lebih cepat daripada kadar pengisian semula, ruang liang bawah tanah runtuh dan menyebabkan tanah di atasnya mendap. Pembandaran pesat, beban bangunan yang berat dan pembinaan berskala besar turut meningkatkan tekanan ke atas tanah yang tidak stabil.

Penurunan tanah membawa risiko serius, termasuk kerosakan bangunan dan jalan raya, gangguan sistem saliran, peningkatan risiko banjir, serta di kawasan pesisir, memperburuk kesan kenaikan paras laut.

PENGAMBILAN AIR TANAH BERLEBIHAN

Dalam keadaan ekstrem, penurunan tanah boleh menyebabkan kawasan kediaman ditenggelami secara kekal dan mengurangkan keluasan tanah yang boleh didiami, sekali gus menimbulkan kos alam sekitar dan ekonomi jangka panjang.

Mengurangkan penggunaan air tanah dan memperbaiki perancangan bandar dikenal pasti sebagai langkah utama untuk memperlahankan proses penurunan tanah.

Ketua Pusat Air Tanah dan Geologi Alam Sekitar, Agus Cahyono Adi berkata, penurunan tanah di Bandung berpunca daripada gabungan faktor semula jadi dan aktiviti manusia.

“Di Bandung, selain aktiviti perindustrian yang meluas, puncanya termasuk tanah lembut daripada endapan sedimen baharu, pembandaran pesat, beban bangunan serta pengambilan air tanah secara berlebihan,” katanya ketika berucap pada satu seminar di Bandung.

Menurut Agus, dari sudut geologi, Lembangan Bandung terbentuk daripada sebuah tasik purba, yang meninggalkan endapan sedimen kurang stabil berbanding kawasan yang terbentuk daripada batuan igneus seperti lava.

Walaupun sebahagian punca penurunan tanah berada di luar kawalan manusia, khususnya faktor geologi semula jadi, Agus menegaskan, faktor berpunca daripada aktiviti manusia masih boleh dikurangkan.

“Kawasan dengan sedimen muda sememangnya lebih terdedah kepada penurunan tanah.

“Faktor semula jadi tidak dapat dikawal, tetapi apa yang boleh kita lakukan ialah mengehadkan eksploitasi air tanah,” katanya.

Selain Bandung, kawasan lain yang merekodkan penurunan tanah melebihi lima sentimeter setahun termasuk sebahagian Jakarta Utara, zon pesisir Semarang seperti Genuk, Tanjung Mas dan Kaligawe, serta Demak, Pekalongan, dan bahagian timur serta utara Surabaya.

Ketua Badan Geologi, Lana Saria berkata, keadaan tanah lembut dan lapisan sedimen muda merupakan faktor asas utama, yang diburukkan lagi oleh aktiviti manusia seperti pembandaran pesat, pembinaan berskala besar dan pengambilan air tanah.

“Apabila penurunan tanah digabungkan dengan kenaikan paras laut akibat pemanasan global, risikonya meningkat dengan ketara, daripada banjir pesisir kekal dan kerosakan infrastruktur hingga kemerosotan kualiti hidup.

“Kesan ini bukan sahaja alam sekitar, malah ekonomi apabila kos pembaikan meningkat dan keluasan tanah semakin berkurangan,” tegasnya.

Agensi itu turut memaklumkan, di sepanjang pantai utara Jawa, termasuk Jakarta dan Semarang, penurunan tanah menyebabkan sebahagian kawasan jatuh ke paras laut atau lebih rendah, mengakibatkan kehilangan kawasan kediaman dan perluasan banjir pesisir.

Di Jakarta pula Badan Geologi mengesan kadar penurunan tanah yang semakin perlahan.

Pengukuran Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dari 2015 hingga 2023 menunjukkan kadar antara 0.05 hingga 5.17cm setahun, dengan trend penurunan dilihat agak tidak ketara sejak 2020.

Sebaliknya, satu laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang diterbitkan pada November 2025 menyatakan sebahagian kawasan Jakarta mengalami penurunan tanah sehingga 28sm.

Laporan itu turut mengenal pasti Jakarta dan Semarang sebagai bandar yang tenggelam lebih pantas berbanding kadar kenaikan paras laut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×