Jeneral tentera Russia maut dalam letupan kereta di Moscow

Jeneral tentera Russia maut dalam letupan kereta di Moscow

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Seorang jeneral kanan Russia maut dalam letupan kereta di selatan Moscow pada pagi Isnin, ketika rundingan bagi menamatkan perang di Ukraine gagal mencapai kemajuan besar.

Ketua Jabatan Latihan Staf Umum Russia, Leftenan Jeneral Fanil Sarvarov, 56, terbunuh apabila bom yang diletakkan di bawah keretanya yang diparkir meletup di sebuah kawasan perumahan di selatan Moscow.

Wartawan di lokasi melihat sebuah SUV Kia putih yang remuk, dengan pintu dan cermin belakang musnah. Rangka kenderaan itu bengkok dan hangus akibat letupan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kawasan itu kini dikawal oleh pasukan keselamatan sementara penyiasat meneliti serpihan. Saksi melaporkan bunyi letupan yang kuat.

“Kami langsung tidak menjangkakannya. Kami sangka kami selamat, tetapi ini berlaku betul-betul di sebelah kami,” kata seorang penduduk tempatan, Tatiana, 74, kepada wartawan.

Sarvarov pernah bertempur dalam kempen tentera Russia di Kaukasus Utara, termasuk Chechnya pada 1990-an, menurut biografinya di laman web kementerian pertahanan.

Beliau juga antara tokoh yang mengawasi pasukan Russia di Syria pada 2015 dan 2016.

Perunding kanan dari Russia dan Ukraine mengadakan pertemuan berasingan dengan pegawai Amerika Syarikat (AS) di Miami hujung minggu lalu, bagi cuba meredakan kebuntuan dalam usaha mencapai perjanjian menamatkan hampir empat tahun konflik.

Kyiv belum mengulas mengenai letupan itu, yang merupakan insiden terbaharu dalam rangkaian serangan serupa, tetapi penyiasat Russia menyatakan mereka mengesyaki ia berkaitan dengan pasukan khas Ukraine.

Serangan itu mempunyai corak yang mirip dengan pembunuhan jeneral dan tokoh pro-perang lain sama ada yang dituntut atau dipercayai dirancang oleh Ukraine.

Kremlin memaklumkan Presiden, Vladimir Putin mengenai pembunuhan itu, yang berlaku selepas tiga hari rundingan di Miami ketika AS meningkatkan usaha memediasi pengakhiran perang hampir empat tahun.

Utusan rundingan Ukraine, Rustem Umerov dan pegawai kanan AS, Steve Witkoff, memuji kemajuan dalam rundingan pada Ahad.

Utusan Russia, Kirill Dmitriev turut mengadakan pertemuan dengan pasukan AS termasuk bersama menantu Donald Trump, Jared Kushner. Witkoff menyifatkan pertemuan itu produktif dan konstruktif.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Luar Russia, Sergei Ryabkov berkata, hanya kemajuan perlahan yang diperhatikan dalam rundingan tersebut.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×