KL, Kuching City rebut kedudukan kedua

KL, Kuching City rebut kedudukan kedua

IHSAN MFL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertembungan Kuala Lumpur City FC menentang Kuching City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur esok dijangka sengit dalam saingan Liga Super berikutan kedua-dua pasukan kini berkongsi mata namun dibezakan dengan jumlah gol dan bolos.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menyifatkan perlawanan itu gambaran sebenar tarikan Liga Malaysia (Liga M), apabila kedua-dua pasukan turun dengan peluang realistik untuk mencipta kemenangan.

Menurut Azlan, dari sudut statistik, Kuching City dilihat sedikit ke hadapan berdasarkan jumlah jaringan yang lebih baik serta rekod pertahanan yang lebih kemas dengan bolos lebih rendah setakat ini.

“Kuching City menjaringkan gol lebih banyak dan mereka juga kurang melepaskan gol. Itu memberi kelebihan kecil kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Azlan mengingatkan bahawa beraksi di laman sendiri memberi kelebihan besar kepada KL City yang terkenal dengan rekod kukuh ketika bermain di hadapan penyokong sendiri.

“Bermain di Kuala Lumpur bukan mudah. KL banyak mencatat kemenangan di laman sendiri dan itu faktor besar yang tidak boleh dipandang ringan,” jelasnya.

Mengulas kekuatan Kuching City, Azlan memuji pendekatan taktikal pasukan itu yang dilihat semakin matang, terutama menerusi gandingan berbahaya di bahagian sayap kanan serta ketajaman penyerang utama mereka.

“Saya lihat Kuching City sangat fleksibel dari segi taktikal. Setiap perlawanan ada perubahan, tidak statik. Jurulatih mereka jelas buat ‘homework’ ikut kelemahan lawan,” katanya.

Dalam pada itu, Azlan menegaskan Terengganu FC perlu bangkit selepas mempamerkan prestasi hambar dalam beberapa perlawanan sebelum ini meskipun memiliki skuad lengkap serta pengurusan yang baik.

“Permainan Terengganu agak pelik. Dari awal musim hingga sekarang, saya tidak nampak perubahan taktikal yang ketara. Mereka seperti bermain dengan pelan yang sama setiap perlawanan,” katanya.

Beliau berpandangan kelemahan utama Terengganu berpunca daripada ketidakberanian jurulatih untuk melakukan perubahan taktikal mengikut kekuatan dan kelemahan lawan.

“Bola sepak moden bukan sekadar menyerang bila menyerang dan bertahan bila bertahan. Sekarang semuanya berasaskan isyarat dan gerakan yang dirancang. Jurulatih kena berani ubah game plan,” tegasnya.

Mengulas aksi Terengganu menentang Sabah di Kuala Terengganu pada hari ini, Azlan melihat pasukan pelawat memiliki peluang cerah untuk mencuri tiga mata sekiranya mampu mempertajamkan jentera serangan yang bermula daripada gerakan kemas di bahagian bawah.

“Serangan balas pantas adalah kekuatan bola sepak moden, tetapi ia mesti dirancang, bukan membuta tuli. Semua itu bermula daripada isyarat yang jelas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×