Perlis Muay Thai Warzone medan cungkil bakat

Perlis Muay Thai Warzone medan cungkil bakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKARANGAN Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kangar menjadi medan petinju muay thai dari seluruh negara mempamerkan aksi bertenaga dan penuh bersemangat sempena Perlis Muaythai Warzone: Fang of Fury 2025.

Menerusi penganjuran tersebut, seramai 84 petarung sukan berkenaan bersaing merebut piala dan kejuaraan yang dipertandingkan.

Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Muay Thai negeri dengan kerjasama Persatuan Muay Thai Malaysia, Pertubuhan Abata Sukan Rekreasi (Abata), Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri dan Majlis Sukan Negeri (MSN).

Sebanyak 35 piala dipertandingkan bagi kategori amatur, manakala kategori profesional menyaksikan perebutan empat piala berserta dua tali pinggang kejuaraan.

Saingan pagi menyaksikan perlawanan bagi kategori junior manakala pada sebelah malam, membabitkan kategori amatur dan profesional.

Menariknya, kejohanan tersebut menjadi medan mencungkil bakat atlet yang akan dipilih mewakili negeri ini pada Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan.

Penasihat Persatuan Muay Thai Malaysia, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, fokus utama penganjuran kejohanan tersebut adalah bagi pemilihan atlet yang bakal mewakili Perlis dalam saingan Sukma 2026.

Katanya, terdapat ramai atlet lain turut serta dalam kejohanan tersebut mengikut kategori dipertandingkan antaranya dari Johor, Wilayah Persekutuan, Perak, Kedah dan Terengganu.

Katanya, Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) turut membantu melancarkan penganjuran itu dengan memberikan kebenaran pelaksanaan.
“Kejohanan berjalan lancar hasil sokongan dan dukungan semua pihak termasuk penglibatan beberapa agensi dalam menjayakan penganjuran ini,” katanya.

SASAR LAHIR RAMAI ATLET

Ujarnya, proses pemilihan atlet akan dibuat selepas mengambil kira pandangan dan nasihat daripada pengadil serta hakim yang terlibat dalam pertandingan kali ini.

“Sasaran kita adalah untuk melahirkan seramai mungkin atlet daripada program ini sekali gus membantu menyumbangkan pingat emas kepada Perlis di peringkat Sukma,” katanya.

Fathul Bari berharap sukan muay thai dapat diberi perhatian berikutan mempunyai potensi besar malah turut disenaraikan dalam program Road to Goal (RTG).

Menurutnya, pelaksanaan program-program pembangunan sukan itu perlu diberikan perhatian serius khususnya dalam mencari pelapis mewakili negara pada masa hadapan.

“Oleh itu, saya berharap Menteri Belia dan Sukan baharu, Dr. Mohammed Taufiq Johari dapat membantu dalam membuka lebih banyak peluang bagi pelaksanaan program pembangunan sukan ini.

“Walaupun sukan ini mungkin tidak berada dalam kedudukan utama, namun telah terbukti dalam kejohanan Sukan SEA baru-baru ini, muay thai dapat menyumbangkan pingat emas kepada negara,” katanya.

Fathul Bari berkata, sejak 2014, Persatuan Muay Thai Malaysia telah menganjurkan beberapa program dan kejohanan bagi pembangunan sukan tersebut.

Antaranya ialah Kejohanan Muay Thai IFMA Remaja Dunia dan Kejohanan Muay Thai IFMA Dunia 2014 di Pulau Langkawi.

Katanya, penganjuran Kejohanan Muay Thai Dunia 2022 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid turut melahirkan beberapa nama besar antaranya seperti Johan Ghazali atau Jojo.

“Apa yang dapat saya lihat, hasil program pembangunan yang dilaksanakan secara berperingkat dari akar umbi oleh Persatuan Muay Thai Malaysia dengan sokongan padu kelab-kelab ini telah menunjukkan impak yang sangat positif,” katanya.

Malah, beliau telah mengadakan perbincangan bersama Persatuan Muay Thai Malaysia untuk turun padang ke peringkat akar umbi selepas ini bagi menganjurkan latihan-latihan sukan secara berterusan.

“Sasaran kita merangkumi pusat-pusat tahfiz, sekolah-sekolah agama serta golongan yang kurang berpeluang untuk mengikuti latihan sukan secara formal.

“Pendekatan ini selari dengan usaha yang dilakukan dalam pembangunan sukan angkat berat negeri, yang juga telah menyumbangkan banyak pingat emas di Sukma,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×