TAIPEI: Polis Taiwan menolak unsur keganasan dalam insiden serangan tikaman maut di metro Taipei yang mengorbankan tiga orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 11 yang lain pada Jumaat, ketika pihak berkuasa meningkatkan langkah keselamatan bagi acara-acara utama musim cuti.
Bercakap kepada AFP pada Ahad, seorang pegawai kanan polis di Taipei berkata, mereka menolak unsur keganasan dari awal.
“Berdasarkan siasatan setakat ini, suspek tidak mengeluarkan atau menunjukkan sebarang kenyataan atau pandangan berkaitan politik, agama atau ideologi tertentu dan kami dari awal menolak unsur keganasan.
“Serangan pengganas mempunyai definisi khusus dan suspek tidak memenuhi definisi tersebut,” kata pegawai berkenaan yang enggan dikenali.
Penyerang, dikenal pasti sebagai Chang Wen, lelaki berusia 27 tahun, melepaskan bom asap di stesen metro utama Taipei dan Stesen Zhongshan ketika waktu puncak petang pada Jumaat, sebelum menikam orang ramai di sepanjang laluan.
Dia kemudiannya ditemui meninggal dunia pada hari yang sama, menurut pegawai, selepas terjun dari sebuah bangunan berhampiran.
Pegawai kanan polis itu berkata penyiasat turut menemukan carian berkaitan pembunuhan rawak pada iPad milik Chang, termasuk bahan berkaitan insiden tikaman metro Taipei pada 2014 yang mengorbankan empat orang.
Siasatan awal menunjukkan serangan pada Jumaat itu dilakukan oleh seorang suspek sahaja.
Susulan insiden tersebut, pihak berkuasa Taiwan meningkatkan kawalan keselamatan sempena Maraton Taipei yang berlangsung pada Ahad, selain acara-acara perayaan musim cuti yang dijangka menarik kehadiran orang ramai dalam jumlah besar.
Hampir 700 anggota polis bersenjata dikerahkan untuk acara maraton itu pada Ahad, dua kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya menurut Datuk Bandar Taipei, Chiang Wan-an, yang bercakap kepada media selepas menjalankan pemeriksaan keselamatan di Stadium Perbandaran Taipei, lokasi garisan penamat maraton.
Musim perayaan di Taiwan lazimnya menarik kehadiran orang ramai yang besar dan langkah keselamatan akan dipertingkatkan tahun ini, kata Chiang.
Penempatan polis diperluaskan di kawasan perhimpunan besar, hab pengangkutan dan ruang awam yang sesak, manakala pihak berkuasa bandar Taipei telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan keselamatan secara menyeluruh di kawasan tumpuan serta memperhebat rondaan pada hujung minggu dan waktu malam. – AGENSI










