BAITULMUQADDIS: Kumpulan wartawan asing mengalu-alukan keputusan Mahkamah Agung Israel yang menetapkan 4 Januari depan sebagai tarikh akhir kepada kerajaan negara itu untuk memberi maklum balas terhadap petisyen menuntut akses media ke Semenanjung Gaza.
Persatuan Wartawan Asing di Baitulmuqaddis (Foreign Press Association – FPA) dalam kenyataan pada Ahad berkata, keputusan itu memberi isyarat jelas mahkamah tidak lagi berkompromi terhadap kelewatan berpanjangan pihak berkuasa Israel.
Sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023 susulan serangan kumpulan Hamas ke atas Israel, pihak berkuasa negara itu dilaporkan menghalang wartawan asing daripada memasuki wilayah Palestin yang musnah akibat konflik berkenaan secara bebas.
Sebaliknya, Israel hanya membenarkan sebilangan kecil wartawan memasuki Gaza dengan syarat mereka mengiringi tentera Israel, selain tertakluk kepada kelulusan secara kes demi kes.
FPA yang mewakili ratusan wartawan asing di Israel dan wilayah Palestin memfailkan petisyen ke Mahkamah Agung Israel tahun lalu bagi menuntut akses segera dan bebas kepada wartawan antarabangsa untuk membuat liputan di Gaza.
Pada 23 Oktober lalu, mahkamah mengadakan pendengaran pertama dan mengarahkan pihak berkuasa Israel menyediakan pelan bagi membenarkan akses media dalam tempoh sebulan. Namun, beberapa lanjutan masa diberikan sebelum mahkamah menetapkan 4 Januari sebagai tarikh akhir muktamad.
Menurut mahkamah, kegagalan pihak berkuasa Israel menyatakan pendirian mereka sebelum tarikh tersebut akan menyebabkan keputusan dibuat berdasarkan dokumen dan bahan sedia ada dalam fail kes.
FPA menyifatkan arahan terbaharu itu sebagai perkembangan positif selepas penantian panjang.
“Selepas dua tahun taktik melengah-lengahkan oleh pihak negara, kami berpuas hati apabila kesabaran mahkamah akhirnya berakhir,” kata FPA.
Persatuan itu turut menggesa Israel agar segera membenarkan akses bebas dan tanpa sekatan kepada wartawan untuk memasuki Gaza, sambil berharap Mahkamah Agung akan mempertahankan kebebasan media sekiranya halangan terus dikenakan.










