QUNEITRA: Pasukan tentera Israel mara ke kawasan Quneitra di Dataran Tinggi Golan, mencabuli kedaulatan Syria dengan menceroboh masuk ke beberapa kampung di kawasan luar bandar dan menubuhkan dua sekatan tentera.
Menurut wartawan Al Jazeera di lokasi, operasi ketenteraan Israel dilihat pada Sabtu di kampung Ain Ziwan dan al-Ajraf di bahagian selatan Syria.
Selama beberapa bulan, pasukan Israel dilaporkan menjalankan kemasukan hampir setiap hari ke selatan Syria, khususnya di wilayah Quneitra, dengan melakukan penahanan, mendirikan sekatan dan meratakan tanah, yang menimbulkan kemarahan orang awam serta ketegangan.
Televisyen rasmi Syria menyifatkan kemasukan Israel itu sebagai pelanggaran kedaulatan Syria, dengan tentera menggunakan lima kenderaan ketenteraan untuk menubuhkan sekatan di Ain Ziwan.
Serangan terbaharu berlaku sehari selepas tentera Israel mara ke bandar al-Asha, Bir Ajam, Bariqa, Umm al-Azam dan Ruwayhina di kawasan pedalaman selatan Quneitra, menurut Agensi Berita Syria (SANA).
Pada Jumaat, puluhan rakyat Syria mengadakan protes di bandar al-Salam, wilayah Quneitra, mengecam serangan Israel terhadap penduduk dan harta benda mereka.
Demonstrasi itu dianjurkan oleh kumpulan Syrians with Palestine yang memegang sepanduk mengecam pelanggaran berulang Israel terhadap tanah Syria.
Walaupun ancaman ketenteraan langsung berkurangan, tentera Israel terus melaksanakan serangan udara yang mengakibatkan kematian orang awam dan merosakkan tapak serta kemudahan tentera Syria.
Menurut Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata (ACLED), sepanjang tahun lalu, Israel melancarkan lebih 600 serangan udara, dron atau artileri di seluruh Syria, purata hampir dua serangan sehari.
Pencerobohan ketenteraan Israel juga dilaporkan semakin kerap dan ganas sejak Israel mengembangkan pendudukan di selatan Syria selepas kejatuhan bekas Presiden, Bashar al-Assad pada Disember 2024.
Selepas kejatuhan Bashar, Israel mengisytiharkan Perjanjian Penarikan 1974 yang dipersetujui selepas perang 1973, di mana Syria gagal menuntut kembali Dataran Tinggi Golan yang diduduki sebagai terbatal.
Perjanjian itu sebelum ini mewujudkan zon penampan yang dipantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi Israel sengaja melanggarnya dengan mara lebih jauh ke dalam wilayah Syria.
Israel mendakwa perjanjian itu tidak lagi terpakai dan terus melaksanakan serangan udara, kemasukan darat, penerbangan risikan, menubuhkan sekatan serta menahan atau menyebabkan rakyat Syria hilang. Syria setakat ini tidak membalas dengan serangan.
Pada September lalu, Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa menyatakan Israel melancarkan lebih 1,000 serangan udara dan lebih 400 kemasukan darat sejak kejatuhan Bashar, menggelar tindakan itu sebagai amat berbahaya.
Rakyat Syria percaya pelanggaran berterusan ini menghalang usaha memulihkan kestabilan di rantau itu serta melemahkan percubaan memperbaiki keadaan ekonomi di selatan Syria.
Al Jazeera turut mengunjungi Quneitra baru-baru ini dan menemu bual penduduk Syria mengenai kemasukan serta penculikan oleh Israel, yang membangkitkan kebimbangan.
Pada masa sama, Syria dan Israel sedang mengadakan rundingan bagi mencapai persetujuan yang diharap dapat menghentikan serangan udara rejim itu dan pengunduran tentera dari selatan Syria.
Amerika Syarikat (AS) turut mendorong usaha diplomatik untuk memulihkan perjanjian 1974 yang termeterai.










