AS rampas kapal tangki minyak kedua di perairan Venezuela

AS rampas kapal tangki minyak kedua di perairan Venezuela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merampas sebuah kapal tangki minyak yang baru berlepas dari Venezuela, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS.

Ia merupakan kali kedua bulan ini AS merampas kapal yang membawa minyak di luar perairan negara itu.

Tindakan tersebut dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump pada Selasa lalu mengumumkan beliau mengarahkan satu sekatan terhadap kapal-kapal tangki minyak yang dikenakan sekatan dan keluar masuk Venezuela.

Venezuela mengecam rampasan terbaharu itu dan menyifatkannya sebagai ‘kecurian dan penculikan’. Caracas sebelum ini menuduh Washington cuba mencuri sumber negara itu.

“Perbuatan ini tidak akan dibiarkan tanpa tindakan,” menurut kenyataan kerajaan Venezuela.

Venezuela turut bercadang memfailkan aduan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) serta agensi pelbagai hala lain dan kerajaan di seluruh dunia.

Operasi rampasan itu diketuai oleh Pengawal Pantai AS, sama seperti operasi sebelum ini pada awal bulan. Kapal berkenaan dinaiki pasukan taktikal khas dan dirampas ketika berada di perairan antarabangsa.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Kristi Noem yang menyelia Pengawal Pantai, berkongsi rakaman video operasi tersebut di platform X.

“Dalam satu tindakan sebelum subuh pada pagi 20 Disember, Pengawal Pantai AS dengan sokongan Jabatan Perang menahan sebuah kapal tangki minyak yang terakhir berlabuh di Venezuela,” tulis Noem.

Beliau turut memuat naik video berdurasi tujuh minit yang memaparkan helikopter AS mendarat di dek sebuah kapal yang tertera nama Centuries di bahagian sisi.

“AS akan terus membanteras pergerakan haram minyak yang dikenakan sekatan dan digunakan untuk membiayai keganasan narkotik di rantau ini. Kami akan mencari anda dan kami akan menghentikan anda,” katanya.

Kapal Centuries berdaftar di Panama, namun dalam tempoh lima tahun lalu ia juga pernah belayar di bawah bendera Greece dan Liberia, menurut rekod yang diteliti oleh BBC Verify.

Kapal itu bagaimanapun tidak tersenarai dalam senarai kapal yang dikenakan sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan AS.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, AS meningkatkan kehadiran ketenteraannya di Laut Caribbean dan melancarkan serangan maut ke atas bot yang didakwa terlibat dalam penyeludupan dadah Venezuela, mengakibatkan kira-kira 100 kematian.

AS tidak mengemukakan bukti awam kapal-kapal tersebut membawa dadah, manakala tindakan ketenteraan itu kini berdepan penelitian semakin ketat daripada Kongres.

Washington menuduh Presiden Venezuela, Nicolás Maduro, mengetuai sebuah pertubuhan yang dilabel sebagai pengganas dikenali sebagai Cartel de los Soles, dakwaan yang dinafikan beliau.

Pentadbiran Trump menuduh Maduro dan kumpulan itu menggunakan minyak yang dicuri untuk membiayai aktiviti mereka, keganasan dadah, pemerdagangan manusia, pembunuhan dan penculikan.

Selepas rampasan kapal kedua itu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, menulis di laman X menegaskan AS akan terus melaksanakan operasi pemintasan maritim tanpa kompromi bagi membongkar rangkaian jenayah haram.

“Keganasan, dadah dan kekacauan tidak akan menguasai Hemisfera Barat,” katanya.

Venezuela, yang memiliki rizab minyak terbukti terbesar di dunia, amat bergantung kepada hasil eksport minyak untuk membiayai perbelanjaan kerajaannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×