Semangat Azeira setinggi Kinabalu

Semangat Azeira setinggi Kinabalu

Azeira Lusian bermain dalam posisi apit iri dalam skuad sepak takraw wanita kebangsaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI kampung kecil di Keningau, Sabah, Azeira Lusian membuktikan kecederaan lutut dialaminya tidak mampu mematahkan semangat meneruskan sukan sepak takraw.

Gadis kelahiran Sabah berusia 20 tahun yang memegang posisi apit kiri bukan sahaja menyerlah dalam gelanggang tetapi dedikasinya mengimbangi komitmen akademik dan sukan.

Minat Azeira terhadap sepak takraw bermula sejak di Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Biah, apabila dia mula berjinak-jinak dengan permainan itu bersama rakan-rakan.

“Ayah saya menjadi pendorong utama dalam perjalanan sukan ini, sokongan keluarga adalah elemen penting yang membina motivasi saya. Pada usia 12 tahun, saya mula serius dan berjanji kepada emak dan ayah untuk bermain sehingga mencapai kejayaan di peringkat nasional,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Di Sabah, Kejohanan Sabah Games (SAGA) menjadi medan awal buat Azeira mengukir nama dan menonjolkan bakatnya sehingga dilihat sebagai prospek masa depan sukan sepak takraw.

“Cabaran terbesar adalah tekanan ketika pertama kali menyertai pertandingan peringkat tinggi. Kali pertama membawa nama Malaysia sangat berbeza dengan pengalaman membawa nama negeri. Memang perlu fokus dan mental yang kuat,” katanya.

Azeira berkata, kenangan manis paling bermakna adalah ketika meraih dua pingat gangsa di Piala Dunia ISTAF di Bihar, India 2025 yang merupakan pencapaian antarabangsa pertamanya sebagai wakil Malaysia.

Namun, dalam kejohanan di India itu, Azeira mengalami kecederaan.

“Ketika membuat lantunan, lutut saya tiba-tiba terseliuh sehingga berbunyi, menyebabkan saya tidak mampu berjalan dan hanya bergantung kepada tongkat untuk beberapa hari,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui mematuhi nasihat doktor dan jurulatih menjadi kunci untuk mengelakkan kecederaan itu daripada menjadi lebih serius.

“Walaupun doktor nasihatkan saya berehat untuk beberapa minggu, saya tetap paksa diri kembali ke latihan kerana ketika itu kejohanan King’s Cup semakin hampir,” katanya.

Mengulas lanjut, Azeira mengimpikan prestasi cemerlang pada kejohanan akan datang termasuk SEA Games, dengan tekad membawa pulang pingat buat negara tercinta.

“Jika tidak lagi bergelar atlet suatu hari nanti, saya mahu menjadi jurulatih wanita kerana jumlah jurulatih wanita di Malaysia masih sangat kurang,” jelasnya.

Mengimbangi masa antara keluarga dan latihan turut menjadi cabaran besar bagi Azeira.

“Walaupun jarang bersama keluarga secara fizikal, kami sentiasa berhubung melalui video call dan WhatsApp. Itu membuatkan hubungan kami kekal rapat walaupun berjauhan,” ujarnya.

Azeira turut menitipkan nasihat kepada generasi muda yang ingin menjadi atlet, bahawa laluan itu bukan mudah dan menuntut kekuatan mental.

“Penting untuk tahu tujuan bermain, demi siapa dan untuk apa. Tanamkan sasaran sendiri dan fokus kepada diri sendiri tanpa terlalu memikirkan kata orang,” katanya.

Bagi Azeira, harapan dirinya adalah untuk terus bertahan dan berjuang sehingga mencapai sasaran peribadi, selain mahu melihat sukan sepak takraw terus berkembang dan diwarisi generasi akan datang sebagai sukan yang membanggakan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×