Jerung laut dalam diancam industri kosmetik

Jerung laut dalam diancam industri kosmetik

JERUNG gulper ditemui di seluruh dunia dan hidup di perairan sedalam sekurang-kurangnya 200 meter. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN mata hijau terang unik, jerung gulper merupakan makhluk laut purba yang wujud sejak jutaan tahun lalu namun kini diancam kepupusan akibat diburu industri kosmetik.

Ditemui di perairan seluruh dunia pada kedalaman antara 200 hingga 1,500 meter, banyak aspek mengenai spesies ini masih menjadi misteri.

Kira-kira tiga perempat daripada spesies jerung gulper di dunia semakin pupus akibat pemburuan untuk mendapatkan minyak hati hidupan laut ini yang kaya dengan sebatian kimia dikenali sebagai squalene.

Jerung gulper yang boleh membesar sehingga dua meter panjang, amat diburu kerana minyak hatinya mengandungi lebih 70 peratus squalene, kadar tertinggi dalam kalangan keluarga jerung.

Bahan tersebut digunakan secara meluas dalam industri kosmetik kerana sifat antioksidan dan pelembabnya.

Menurut firma penyelidikan Grand View Research, pasaran global squalene dianggarkan bernilai AS$150 juta (RM613 juta) pada 2023.

Walaupun 80 peratus bekalan kini diperoleh daripada sumber tumbuhan seperti minyak zaitun, penghasilan satu tan squalene memerlukan kira-kira 3,000 ekor jerung.

Beberapa syarikat besar seperti L’Oreal dan Unilever berikrar menghentikan penggunaan minyak hati jerung sejak 2008 dan beralih kepada alternatif berasaskan tumbuhan.

Namun, kajian global pada 2015 oleh pertubuhan pemuliharaan marin Perancis, BLOOM mendapati, 20 peratus daripada krim pelembab yang diuji masih mengandungi squalene daripada jerung, termasuk sebahagian besar jenama Asia.

Menurut Dana Antarabangsa Kebajikan Haiwan (IFAW), minyak hati jerung dikesan dalam pelbagai produk termasuk alat solek, losen selepas bercukur, pelindung matahari, tampalan nikotin dan ubat buasir.

Bulan lalu, perlindungan baharu terhadap hidupan laut ini diumumkan sempena Persidangan Ke-20 Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Fauna dan Flora Liar (CITES) yang berlangsung di Samarkand, Uzbekistan.

Lebih 70 spesies jerung dan pari diberikan perlindungan lebih ketat terhadap perdagangan antarabangsa dan keputusan ini disifatkan IFAW sebagai satu detik bersejarah dan kemenangan besar kepada spesies laut dalam yang sebelum ini kurang diberi perhatian.

Jerung gulper disenaraikan di bawah Apendiks II CITES, yang mengawal perdagangan rentas sempadan dan memperketat pemantauan.

Pengarah Pemuliharaan Jerung dan Pari Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar, Luke Warwick berkata, keputusan itu amat penting dan tidak boleh ditangguhkan kerana hidupan laut dalam itu sudah menjadi kumpulan spesies kedua paling terancam di dunia.

Pengarah Kanan Dasar IFAW, Matt Collis berkata, penurunan mendadak ini berlaku dalam tempoh 20 hingga 30 tahun kebelakangan, didorong oleh peningkatan nilai komersial minyak hati jerung serta keupayaan industri perikanan untuk menyasarkan spesies laut dalam dengan lebih berkesan.

Keadaan ini amat membim­bangkan kerana jerung gulper matang lewat dan mempunyai kadar pembiakan yang perlahan, menyebabkan populasinya kini merosot lebih 80 peratus di beberapa wilayah.

Sekiranya populasi terus merosot, ia memerlukan tempoh yang sangat panjang untuk pulih, seperti spesies dumb gulper shark di Australia yang mengambil masa sehingga 86 tahun untuk memulihkan hanya 25 peratus daripada populasi asalnya.

“Mereka tidak mampu menampung tahap eksploitasi seperti ini. Kadar pembiakan mereka terlalu perlahan untuk pulih dengan cepat,” kata Collis. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×