Bekas PM Pakistan, isteri dipenjara 17 tahun - Utusan Malaysia

Bekas PM Pakistan, isteri dipenjara 17 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan isterinya, Bushra Bibi masing-masing dihukum penjara selama 17 tahun selepas didapati bersalah dalam kes penjualan dan pembelian hadiah negara, dikenali sebagai kes Toshakhana II.

Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA), keputusan itu dibacakan di Penjara Adiala, Rawalpindi, tempat kedua-duanya kini ditahan.

Hakim Khas Pusat, Shahrukh Arjumand menjatuhkan hukuman berkenaan selepas mendapati Imran dan Bushra terlibat dalam penjualan serta pembelian hadiah asing secara haram pada harga jauh lebih rendah daripada nilai sebenar.

Selain hukuman penjara, mahkamah turut mengenakan denda kira-kira AS$35,600 (RM145,141) ke atas setiap seorang.

Imran dan Bushra didakwa dalam kes berkenaan pada tahun lalu, namun kedua-duanya menafikan semua pertuduhan dan mendakwa kes itu bermotifkan politik.

Sabitan terbaharu itu merupakan sabitan ketiga Imran dalam kes berkaitan Toshakhana selepas beliau dihukum penjara tiga tahun pada Ogos 2023 dan 14 tahun pada Januari lalu dalam kes Toshakhana I.

Sejak dipenjarakan pada Ogos 2023, Imran berdepan puluhan pertuduhan melibatkan rasuah dan keganasan yang disifatkannya sebagai palsu, dengan kerajaan memfailkan lebih 200 kes terhadapnya, walaupun beliau berjaya memperoleh jaminan dalam beberapa kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×