PARIS: Kerajaan Perancis akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah Paris pada Jumaat yang menolak cadangan penggantungan operasi platform beli-belah dalam talian Shein selama tiga bulan, susulan kontroversi penjualan anak patung seks menyerupai kanak-kanak di pasarannya.
Mahkamah Paris bagaimanapun mengarahkan Shein melaksanakan langkah pengesahan umur bagi sebarang produk dewasa yang dijual melalui laman web Perancisnya, serta menetapkan denda 10,000 euro (RM47,769) bagi setiap pelanggaran.
Keputusan itu dibuat ketika pihak berkuasa berusaha memaksa Shein mengetatkan kawalan terhadap produk yang dijual oleh pihak ketiga di platform berkenaan.
Namun, mahkamah menolak permintaan kerajaan untuk menggantung keseluruhan laman web Shein selama tiga bulan, dengan menyifatkan langkah itu sebagai tidak seimbang.
Kerajaan Perancis dalam satu kenyataan berkata ia akan memfailkan rayuan dalam beberapa hari akan datang atas permintaan Perdana Menteri sambil menegaskan keyakinan terhadap kewujudan risiko sistematik yang dikaitkan dengan model perniagaan Shein.
Shein sebelum ini terpalit kontroversi selepas badan pemantau pengguna Perancis, DGCCRF menemui penjualan anak patung seks menyerupai kanak-kanak serta senjata terlarang di platform berkenaan, sekali gus mendorong kerajaan untuk menggantung operasinya.
Jurucakap Shein berkata syarikat itu mengalu-alukan keputusan mahkamah tersebut.
“Kami kekal komited untuk terus mempertingkatkan proses kawalan kami dengan kerjasama rapat bersama pihak berkuasa Perancis, bagi mewujudkan antara piawaian paling ketat dalam industri, dan usaha ini telah dipergiatkan,” katanya.
“Keutamaan kami adalah melindungi pengguna Perancis dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan tempatan,” tambahnya. Shein bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keputusan kerajaan untuk merayu.
Shein kini boleh menyambung semula operasi pasarannya di Perancis yang digantung bulan lalu susulan penemuan DGCCRF. Laman web yang menjual pakaian berjenama Shein kekal boleh diakses sepanjang tempoh itu. -AGENSI










