ROM: Kebuluran yang diisytiharkan di Gaza pada Ogos lalu kini dianggap berakhir susulan peningkatan akses bantuan kemanusiaan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimanapun, PBB menegaskan bahawa keadaan di wilayah Palestin itu masih sangat membimbangkan kerana seluruh Gaza masih dikategorikan berada pada tahap kecemasan dari segi bekalan makanan.
“Tiada kawasan yang kini diklasifikasikan sebagai mengalami kebuluran,” menurut Inisiatif Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), sebuah gabungan pemantau yang ditugaskan PBB untuk memberi amaran awal mengenai krisis yang bakal berlaku.
Menurut IPC, walaupun tiada lagi kawasan yang diklasifikasikan sebagai kebuluran, kira-kira 1.6 juta penduduk Gaza dijangka masih berdepan masalah kekurangan makanan pada tahap krisis sehingga pertengahan April tahun depan.
Gencatan senjata yang bermula pada Oktober lalu berjaya menghentikan pertempuran, namun keadaan kekal rapuh apabila Israel dan Hamas terus saling menuduh melanggar perjanjian itu.
“Susulan gencatan senjata itu, analisis terkini IPC menunjukkan peningkatan ketara dalam keselamatan makanan dan pemakanan berbanding analisis Ogos 2025 yang mengesan kebuluran,” menurut kenyataan itu.
Rakyat Palestin terus menunggu bantuan daripada pelbagai agensi kemanusiaan, termasuk dapur amal yang menyediakan makanan asas di Bandar Gaza, sebagai langkah menangani krisis yang masih membelenggu sebahagian besar penduduk.










