Wanita pilih tidak berundur, sabar dengan sikap anak-anak tiri

Wanita pilih tidak berundur, sabar dengan sikap anak-anak tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bergelar ibu tiri bukan sekadar menumpang nama sebuah keluarga tetapi menuntut hati yang kental, jiwa besar dan sabar.

Bagi seorang wanita yang memilih berkahwin dengan duda beranak bukan keputusan mudah.

Ia memerlukan pertimbangan yang panjang dan keberanian.

Ini kerana kebahagiaan rumah tangga tidak boleh dibina hanya dengan cinta suami isteri semata-mata, tetapi dengan kesabaran melibatkan anak-anak tiri sebagai amanah bersama.

Minggu ini saya kongsikan kisah seorang wanita, Mai (bukan nama sebenar) yang diuji apabila kehadirannya dalam keluarga baru tidak diterima anak-anak tiri.

Kehadirannya dianggap asing, malah mengganggu keharmonian keluarga mereka.

Namun, wanita ini memilih untuk tidak berundur, sebaliknya bersabar dan terus berbuat baik dengan anak-anak tiri.

Tujuan kisah ini dikongsi bukan untuk mengaibkan suami atau anak-anak tirinya kerana mereka sudah berbaik dan bahagia.

Tetapi lebih kepada pengajaran kepada wanita yang sedang diuji dengan sikap anak-anak tiri.

Dalam pertemuan yang diatur baru-baru ini, Mai berkata, berkat kesabarannya selama hampir dua tahun, anak-anak tiri mula melihat keikhlasan dan belajar menerimanya.

“Saya bukan manusia sempurna, sepanjang tempoh diuji dengan sikap anak-anak tiri, perasaan sedih, marah dan kecewa itu tetap ada.

“Setiap kali perasaan itu muncul, saya cuba ingatkan diri saya tentang tujuan berkahwin dengan bapa mereka.

“Sejujurnya, anak-anak ini tidak boleh ditawan dengan paksaan, tetapi dengan masa dan keikhlasan. Alhamdulilah, dari situ penerimaan mula hadir perlahan-lahan,” ujarnya yang turut ditemani anak tirinya, Melisa (bukan nama sebenar).

Mengimbas kisah lalu, kata Mai, sejak melangkah masuk ke rumah itu sebagai isteri pada pertengahan Januari 2015, hatinya tidak benar-benar tenang.

Rumah yang sepatutnya menjadi tempat dia membina bahagia, terasa seperti medan ujian .

Dia sedar peranannya bukan kecil sebaik melangkah masuk ke alam perkahwinan sebagai ibu kepada empat anak tiri yang masing-masing berusia 5, 8, 15 dan 17 tahun itu.

“Saya berkahwin dengan bapa mereka bukan untuk menggantikan sesiapa, terutama ibu kandung.

“Namun, anak-anak tiri tersalah anggap, kononnya saya hanya mengganggu dan mahu merampas kasih sayang bapa mereka,” ujarnya.

Sepanjang tempoh itu, dia terus bersabar untuk menyesuaikan diri.

Dia belajar penolakan itu bukan kerana kebencian semata-mata, tetapi rasa takut kehilangan kasih sayang dan perasaan anak-anak yang belum matang.

“Saya lebih banyak memilih untuk berdiam, menahan air mata dan terus berbuat baik dengan anak-anak tiri,” katanya.

Malah, dia terus berusaha mengambil hati untuk membuat anak-anak tiri selesa.

Melakukan tugas mengurus rumah tangga, memasak dan menyediakan makan minum mereka.

Sementara itu, kata Mai, dia mengenali suaminya, Azman (bukan nama sebenar) dalam satu majlis perkahwinan.

Dia hadir sebagai kenalan jauh keluarga, sekadar membantu menghidang dan menguruskan tetamu.

Lalu diperkenalkan kepada lelaki itu, seorang duda empat anak.

Pada awalnya, kata Mai, tiada apa yang menarik tentang lelaki itu.

Namun, dari pertemuan itu dia mula melihat sisi lain Azman.

“Saya mula tertarik padanya, bukan kerana simpati semata-mata tetapi kesabaran menjaga anak-anak dan kasih sayang yang ditunjukkan dengan penuh tanggungjawab,” ujarnya.

Hubungan mereka bermula perlahan dan saling mengenal hati budi.

Mai sedar, dia mendekati seorang duda dengan sejarah dan amanah yang besar.

“Saya tahu jika saya melangkah lebih jauh dalam hubungan itu, bukan sahaja hati lelaki itu yang perlu diterima, tetapi hati anak-anak yang kehilangan ibu,” ujarnya.

Menurut Mai, keputusan untuk berkahwin dibuat selepas mendapat restu kedua-dua keluarga.

Bulan-bulan pertama perkahwinan menjadi tempoh paling mencabar.

Ini kerana anak-anak tiri terutamanya Melisa dan Akil (bukan nama sebenar) tidak pernah benar-benar menerima kehadirannya.

Setiap pandangan kedua-duanya terasa sesuatu yang terbuku di hati.

Dalam tempoh menyesuaikan diri itu, ada ketikanya dia berkecil hati.

Ketika suami lebih mengutamakan anak-anak dan peka kepada emosi mereka, Azman seolah-olah terlupa tentang isterinya.

“Saya berasa kecil hati dan tersisih. Bukan kerana tidak memahami, tetapi saya juga sedang belajar untuk mencari tempat dan menyesuaikan diri dalam keluarga itu,” imbasnya.

Namun Mai tidak membiarkan perasaan itu berakar lama dan cepat muhasabah diri.

“Saya cuba ingatkan diri kenapa berkahwin dengan duda yang bukan sekadar memilih seorang lelaki, tetapi menerima amanah anak-anak yang datang bersama,” ujarnya.

Dari situ Mai belajar memujuk hati dan menukar cemburu menjadi lebih memahami.

Bahkan, dia sering berdoa agar Allah sentiasa terus meletakkan kesabaran dalam dirinya.

Pada akhirnya, dia sedar satu perkara yang membuat hatinya lebih tenang.

Dia tidak perlu terlalu sibuk untuk mempertahankan kedudukannya sebagai isteri.

“Saya faham, tempat saya sebagai isteri tidak akan hilang hanya kerana suami mencurahkan kasih sayang kepada anak-anaknya.

“Kasih itu berbeza peranannya,” ujarnya.

Mai kini lebih fokus untuk menjadi isteri dan ibu tiri yang lebih baik.

Pertengahan Januari 2026 ini genap usia perkahwinannya 10 tahun.

Tempoh sedekad ini, dia telah melalui fasa menyesuaikan diri, menghadapi rintangan sebagai isteri dan ibu tiri serta belajar sabar dan ikhlas dalam setiap tindakan.

“Percaya perkahwinan yang dibina dengan kesabaran dan keikhlasan pasti akan berakhir dengan kemanisan,” ujarnya.

Sesungguhnya banyak ayat al-Quran dan hadis menekankan tentang kesabaran dalam menghadapi ujian rumah tangga.

Antaranya, “Hai orang-orang beriman, jadikanlah sabar dan solat itu sebagai penolongmu, Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah:153)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×