NEW DELHI: Satu insiden mencetuskan kemarahan meluas selepas Ketua Menteri Bihar, Nitish Kumar didakwa menarik niqab dan hijab seorang wanita Muslim ketika majlis rasmi kerajaan di Patna, Isnin lalu.
Insiden itu dirakam dalam sebuah video yang tular di media sosial, memaparkan Kumar menarik niqab seorang doktor wanita ketika beliau menerima surat pelantikan sebagai pegawai perubatan perubatan alternatif.
Tindakan itu berlaku di hadapan beberapa pegawai kerajaan lain yang berada di atas pentas.
Dalam rakaman tersebut, Kumar menunjuk ke arah niqab wanita berkenaan dan memintanya menanggalkan niqabnya.
Sebelum wanita itu sempat bertindak balas, beliau menghulurkan tangan dan menarik hijab tersebut, mendedahkan wajah wanita itu di hadapan khalayak.
Kumar, 74, merupakan sekutu rapat Perdana Menteri India, Narendra Modi dan partinya, Janata Dal-United (JD-U), baru sahaja memenangi pilihan raya Dewan Undangan Negeri Bihar bersama Parti Bharatiya Janata (BJP) bulan lalu.
Video berkenaan pertama kali dimuat naik oleh Parti Rashtriya Janata Dal (RJD), parti pembangkang utama di Bihar yang mempersoalkan kewarasan dan sikap Kumar dan mengaitkan tindakan itu dengan ideologi nasionalis Hindu ekstrem.
Parti pembangkang dan pertubuhan Muslim segera mengecam tindakan tersebut dan menuntut peletakan jawatan Kumar. Parti Kongres menyifatkan perbuatan itu sebagai memalukan dan mempertikaikan keselamatan wanita di Bihar.
Protes turut tercetus di beberapa bandar termasuk Mumbai, apabila ahli parti All India Majlis-e-Ittehadul Muslimeen (AIMIM) menuntut tindakan undang-undang terhadap Kumar.
Menteri Luar Pakistan pula menyifatkannya sebagai memalukan dan mencerminkan peningkatan Islamofobia.










