NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan 55,000 keluarga Palestin terjejas akibat hujan dan ribut baru-baru ini di Semenanjung Gaza yang menyebabkan kerosakan terhadap harta benda serta tempat perlindungan mereka.
Kenyataan itu disampaikan oleh Timbalan Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Farhan Haq semasa taklimat media di ibu pejabat PBB di New York pada Rabu.
Menurut Haq, Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menganggarkan bahawa hampir 55,000 keluarga setakat ini terjejas akibat hujan terbaru di seluruh Gaza, dengan barangan peribadi dan tempat perlindungan mereka rosak atau musnah akibat ribut.
Beliau turut memaklumkan bahawa ribut dan hujan lebat telah merosakkan puluhan ruang mesra kanak-kanak di Gaza, sekali gus menyebabkan aktiviti perlindungan kanak-kanak terpaksa digantung. Gangguan ini menjejaskan kira-kira 30,000 kanak-kanak di seluruh wilayah tersebut.
Haq memberi amaran bahawa sekatan berterusan oleh Israel terus menghalang organisasi kemanusiaan daripada memperluaskan respons bantuan mereka dengan lebih pantas di Gaza.
Sebelum ini, Majlis Pelarian Norway melaporkan hanya sedikit bekalan tempat perlindungan memasuki Gaza, walaupun sudah dua bulan gencatan senjata yang diusahakan AS berkuat kuasa.
Sekatan oleh Israel itu menyebabkan PBB dan organisasi bantuan antarabangsa hanya berjaya membawa masuk 15,600 khemah untuk 88,000 orang, sementara 1.29 juta masih memerlukan tempat perlindungan untuk menghadapi musim sejuk.
Organisasi bantuan antarabangsa masih disekat daripada membawa bantuan dan hampir 4,000 palet bahan perlindungan ditolak.
Gaza sangat memerlukan jentera berat, peralatan dan barang perlindungan untuk mencegah banjir besar, kata organisasi kemanusiaan itu. -AGENSI










