DOHA: Perdana Menteri Qatar memberi amaran pelanggaran gencatan senjata Gaza oleh Israel yang berlaku hampir setiap hari mengancam keseluruhan perjanjian dan menyeru kemajuan segera ke fasa seterusnya perjanjian bagi menamatkan perang genosid Israel terhadap wilayah Palestin yang terkepung itu.
Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani menyampaikan gesaan tersebut selepas perbincangan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio di Washington pada Rabu.
Beliau menegaskan kelewatan dan pelanggaran gencatan senjata mengancam keseluruhan proses serta meletakkan para pengantara dalam kedudukan yang sukar.
Perdana Menteri Qatar yang negaranya memainkan peranan penting sebagai pengantara berkata, bantuan kemanusiaan mesti sampai ke Gaza tanpa syarat dan fasa kedua perjanjian perlu dimulakan serta-merta.
Perbincangan sempena Dialog Strategik AS–Qatar kali ketujuh itu berlangsung ketika gencatan senjata yang rapuh terus terhakis, di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di seluruh Gaza.
Pelanggaran gencatan senjata mencapai tahap kritikal pada hujung minggu lalu apabila Israel membunuh komander kanan Hamas, Raed Saad, di Gaza City.
Presiden AS, Donald Trump, memberitahu wartawan bahawa pentadbirannya sedang meneliti sama ada serangan itu melanggar gencatan senjata.
Sementara itu, pegawai AS memaklumkan kepada portal berita Axios bahawa Rumah Putih telah mengeluarkan teguran keras kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dengan memberi amaran agar tidak merosakkan reputasi Trump selepas beliau memeterai perjanjian itu.
Keadaan kemanusiaan semakin terdesak apabila ribut musim sejuk melanda wilayah tersebut, dengan ratusan ribu rakyat Palestin berlindung di dalam khemah sementara yang rapuh atau bangunan tidak selamat yang musnah akibat pengeboman.
Situasi ini diburukkan lagi oleh keengganan Israel membenarkan kemasukan bekalan penting, termasuk rumah mudah alih, ke Gaza.
Penghantaran bantuan kekal sangat terhad, dengan hanya 39 peratus trak yang diperuntukkan berjaya sampai ke destinasi di dalam wilayah itu, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza. Israel juga menyekat kemasukan makanan berkhasiat, sambil membenarkan barangan tidak penting memasuki wilayah berkenaan.










